KANADA semalam menegaskan keperluan untuk mempunyai kehadiran diplomatik yang kukuh di India selepas muncul laporan kerajaan India mahu mengurangkan bilangan diplomat Kanada secara drastik di negara itu.
Tindakan India dilaporkan diambil ketika ketegangan Kanada-India berterusan susulan kes pembunuhan seorang aktivis Sikh di pinggir bandar Vancouver dan didakwa didalangi ejen India.
New Delhi memberitahu Ottawa pihaknya mesti menghantar pulang 41 daripada 62 diplomatnya menjelang 10 Oktober atau kekebalan diplomatik mereka akan ditarik balik, menurut laporan media.
Menteri Luar Kanada Melanie Joly berkata kerajaannya sedang berbincang dengan India dalam hal ini.
“Dalam saat-saat genting kerana memang terdapat ketegangan antara kedua-dua kerajaan kita, lebih penting lagi diplomat berada di lapangan.
“Itulah sebabnya kami percaya pentingnya mempunyai wakil diplomatik yang kukuh di India. Jadi kami sedang berbincang dengan kerajaan India,” kata Joly semalam.
Pertikaian memuncak selepas kejadian pembunuhan pemimpin pemisah Hardeep Singh Nijjar yang merupakan warga Kanada yang berasal dari India.
Penyokong gerakan Khalistan berusia 45 tahun dikehendaki di India atas tuduhan keganasan ditembak mati pada Jun di luar sebuah gurdwara di Surrey di wilayah British Columbia. – Bernama, 4 Oktober, 2023.
Komen