PARTI Pemulihan Jepun sedang mempertimbangkan untuk mengenakan hukuman kepada ahlinya yang juga ahli Parlimen Muneo Suzuki kerana lawatannya ke Rusia tanpa notis awal di mana beliau berjumpa dengan pihak berkuasa Rusia, Sputnik memetik laporan penyiar Jepun NHK semalam.
Suzuki bertemu dengan Timbalan Menteri Luar Rusia Andrey Rudenko pada Isnin, menurut Kementerian Luar negara itu.
Pejabat Suzuki berkata Dewan Tinggi Parlimen Jepun dimaklumkan tentang perjalanan ahli Parlimen tersebut manakala parti beliau mendakwa mereka langsung tidak dirujuk, menurut laporan tersebut.
Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Hirokazu Matsuno berkata Suzuki tidak memaklumkan kabinet tentang hasratnya itu.
“Kerajaan Jepun tidak menerima notis awal dari Suzuki tentang perjalanannya ke Rusia,” kata Matsuno dalam satu taklimat.
Beliau juga berkata kerajaan tidak berada dalam kedudukan untuk mengulas mengenai butiran perjalanan Suzuki. Matsuno sekali lagi menasihati warga Jepun agar tidak melancong ke Rusia.
Suzuki menjadi tokoh penting dalam politik Jepun selama lebih dari 40 tahun.
Beliau dikenali kerana minatnya untuk menandatangani perjanjian damai dengan Rusia dan membangunkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Kementerian Luar Rusia berkata semasa perjumpaan itu Rudenko memuji sumbangan Suzuki dalam pembangunan hubungan dua hala dan menyatakan kerjasama selama bertahun-tahun antara Rusia dan Jepun dimusnahkan oleh dasar sekatan Tokyo. – Bernama, 4 Oktober, 2023.
Komen