Kejelasan dasar penting untuk raih keyakinan pelabur asing dan domestik, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim lebih optimis dengan hasil yang bakal dicapai pada masa depan sekiranya kerajaan menguruskan ekonomi dengan dasar yang jelas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim berkata kejelasan dasar penting untuk meraih keyakinan pelabur asing dan juga domestik.

Beliau berkata melalui dasar yang jelas, seperti Ekonomi Madani, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan juga Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), kerajaan beralih daripada pendekatan tradisional menyemak semula dasar.

Sebaliknya, kerajaan melakukan anjakan dan penyesuaian dengan mengambil kira cabaran yang dihadapi negara pada masa ini, katanya.

Anwar berkata, beliau akan lebih optimis pada hasil yang bakal dicapai pada masa depan sekiranya kerajaan menguruskan ekonomi dengan dasar yang jelas dan merancang lebih awal untuk mencapai keputusan sambil menangani masalah dengan sedaya mungkin.

“Kejelasan dasar penting untuk menjana keyakinan pelabur asing dan domestik kerana terdapat defisit kepercayaan secara umumnya.

“Selain itu, terdapat defisit kepercayaan disebabkan dasar sebelum ini dibentuk untuk memberi keuntungan kepada golongan elit sehingga menjejaskan majoriti penduduk. Jadi peralihan dalam tadbir urus ini, bagi saya, adalah kritikal,” kata perdana menteri semasa menyampaikan ucapan penutup pada Forum Megatrends Khazanah (KMF) 2023, di Kuala Lumpur, hari ini.

Forum tersebut dianjurkan oleh sayap pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd.

Anwar, yang juga pengerusi Khazanah berkata, keengganan melakukan perubahan selalunya adalah daripada golongan elit yang sudah biasa menyalahgunakan kuasa dan kedudukan atau rasuah sebagai satu amalan standard.

 “Apa yang kami maksudkan dengan anjakan dasar atau paradigma adalah untuk mengakui batasan pada masa lalu dan menentukan haluan, dasar dan kaedah baharu melakukan suatu yang kritikal untuk tindakan atau perubahan.

“Berlakunya kegagalan kerana adanya kecacatan asas dalam sistem. Oleh itu, perlu ada kesediaan untuk beralih, menggubal dasar baharu dan tidak lagi melakukan sesuatu seperti pada masa lalu,” katanya.

Anwar juga mengakui walaupun Malaysia perlu berjaya dan berkembang dengan pesat, namun dasar baharu dan tindakan tidak boleh mengabaikan isu kemiskinan akibat ketidaksamaan.

Dalam pada itu perdana menteri berkata, Kabinet sentiasa berbincang dan bertindak secara konsisten dalam menangani isu kemudahan menjalankan perniagaan dan berusaha untuk memastikan kerenah birokrasi dihapuskan.

“Menariknya, bagi (mesyuarat) Kabinet esok, buat pertama kalinya, saya telah meminta laporan status syarikat terpilih dan untuk melihat bila permohonan (dibuat) secara prinsipnya, jabatan-jabatan yang perlu dilalui (untuk dapatkan) semua kelulusan, masa yang diambil, alasan yang diberikan dan kelulusan akhir.

“Ini kerana tiada jaminan yang akan memuaskan hati pelabur sehingga kita dapat bertindak dengan berkesan atas kebimbangan munasabah mereka. Sudah tentunya, kita tidak akan berkompromi dengan dasar yang dinyatakan atau impak ke atas alam sekitar,” kata Anwar. – Bernama, 3 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen