Kestabilan politik penting untuk pulihkan ekonomi negara, kata Fadillah


Timbalan Perdana Penteri Fadillah Yusof berkata pelabur hanya akan datang jika negara mempunyai dasar dan strategi negara yang jelas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2023.

TIMBALAN Perdana Menteri Fadillah Yusof mahu semua pihak menjaga kestabilan politik kerana ia memberi kesan besar dalam usaha memulihkan ekonomi negara.

Bercakap dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Biodiesel Kelapa Sawit keempat di Putrajaya hari ini, beliau berkata pelabur hanya akan datang jika negara mempunyai dasar dan strategi negara yang jelas, selain mempunyai kestabilan politik. 

Justeru Fadillah, yang juga menteri perladangan dan komoditi, menyeru semua pihak dalam politik bersama-sama berusaha memastikan kestabilan politk negara dengan memberikan pandangan konstruktif bagaimana untuk meningkatkan ekonomi termasuk menarik pelabur luar ke negara ini.

“Saranan dan harapan saya kepada semua tidak kira siapa pun dalam politik ini…  bila hendak berbahas dan berpolitik pastikan berasaskan kepada pembangunan. 

“Kalau asyik bertukar kerajaan sudah pasti pelabur tidak akan datang,” kata beliau ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam mengenai ada pihak tidak senang hati dan mahu memecahkan kerajaan perpaduan kerana cemburu dengan kekuatan gabungan itu.  

Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) semasa berucap pada Ceramah Mega Perpaduan Madani di Dataran Simpang Pelangai semalam, berkata ini kerana kerjasama melibatkan PH bersama Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah satu gabungan yang mantap. – Bernama, 3 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen