Polis sahkan 4 sekeluarga didakwa 'hilang' sudah pulang ke Kluang


POLIS mengesahkan empat sekeluarga yang dikhuatiri hilang setelah gagal dihubungi sejak Sabtu selepas bercuti di Pulau Perhentian di Jertih, telah selamat pulang ke rumah keluarga mereka di Kluang, Johor petang ini.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Mohamad berkata pihaknya mendapat maklumat berkenaan daripada waris mangsa tentang kepulangan Suraidah Abdul Ghani, 52, bersama anak lelaki serta dua cucunya itu.

“Bagaimanapun polis belum memperoleh butiran lanjut daripada waris mengenai kejadian mangsa yang tidak dapat dikesan sejak Sabtu lepas ketika bercuti di Pulau Perhentian. Sehubungan itu, polis menganggap kes ini telah selesai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, polis meminta bantuan orang ramai untuk menyalur maklumat mengenai “kehilangan” empat sekeluarga berkenaan yang gagal dihubungi selepas bercuti di Pulau Perhentian di Jertih bermula Jumaat hingga Ahad lepas.

Rozak berkata berdasarkan semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati semua mangsa bergerak keluar dari pekan Kuala Besut menuju ke arah Jambatan Kuala Besut (arah Kampung Raja- Kuala Terengganu) dengan menaiki kereta Proton Saga BLM warna biru dengan nombor pendaftaran JRW6380, iaitu kereta yang dibawa keluarga itu sebelum ini.

Sementara itu di Johor, Sukarelawan Pertubuhan Amal Komuniti Besut Ahmad Nazrul mengesahkan Suraidah dan anaknya Mohamad Aiman Rafee, 21, serta dua cucunya Sasa Alesha Mohd Saiful, 7, dan Ahmad Dhani Mohd Saiful, 4, sudah berada di Kluang.

“Ya, saya mengesahkan mereka telah selamat pulang ke Kluang. Saya berhubung dengan bapa kepada kanak-kanak tersebut dan dia mengesahkannya.

“Buat masa ini, mungkin bapa kanak-kanak itu mahu berehat sebab memandu kenderaan dari Kluang ke Terengganu dan berpatah balik, kita cuba bantu mana termampu,” katanya di Jertih.

Ahmad berkata kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat dan berharap tiada pihak yang membuat sebarang spekulasi terhadap kes berkenaan.

“Terima kasih kepada semua yang banyak membantu dalam usaha mencari ini. Terima kasih pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), pengusaha resort dan hotel Pulau Perhentian, pengusaha bot Pulau Perhentian dan semua yang terlibat secara langsung mahupun secara tak langsung,” katanya. – Bernama, 3 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen