SATU daripada loji janakuasa hidroelektrik utama di Brazil menutup operasinya buat sementara waktu berikutan paras air Sungai Madeira yang semakin surut, lapor Agensi Berita dpa.
Paras air sungai pada masa ini hanya 50 peratus daripada purata disebabkan kemarau, kata syarikat Santo Antonio Energia pada Isnin.
Menurut Pertahanan Awam, paras air ketika ini adalah 1.43 meter dan baru-baru ini paras air surut lebih satu meter dalam tempoh seminggu.
Loji janakuasa hidroelektrik Santo Antonio berhampiran Porto Velho di negeri Rondonia merupakan satu daripada loji terbesar di Brazil dan mempunyai 50 turbin dengan kapasiti terpasang 3,568 megawatt.
Ekonomi terbesar di Amerika Latin itu menjana kira-kira 65 peratus tenaga elektrik daripada kuasa hidro.
Ini kali kedua loji kuasa hidro Santo Antonio terpaksa menggantung operasinya sepenuhnya sejak kali terakhir ketika banjir besar pada 2014.
Amazon Brazil kini sedang dilanda kemarau. Kebanyakan sungai di rantau ini mencatatkan paras air yang lebih sedikit berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Musim kemarau diburukkan lagi oleh fenomena El Nino. Fenomena cuaca yang berlaku setiap beberapa tahun ini menyebabkan lebih banyak kemarau dan cuaca panas di beberapa negara termasuk Brazil. – Bernama, 3 Oktober, 2023.
Komen