Pasukan keselamatan Turkiye tahan 67 suspek pengganas


PASUKAN keselamatan Turki menahan 67 suspek pengganas dalam operasi antikeganasan yang dilancarkan di seluruh negara, kata Menteri Dalam Negeri Ali Yerlikaya.

“Daripada jumlah itu, 12 suspek pengganas telah ditahan di wilayah Mersin, Van, Sanliurfa, Mardin dan Aydin,” kata Yerlikaya di X, lapor Agensi Anadolu.

Yerlikaya berkata 55 suspek lagi ditahan dalam operasi di 16 wilayah.

Seramai 13,400 anggota keselamatan terlibat dalam operasi yang bermula pada 8.30 pagi waktu tempatan itu, termasuk 466 operasi dijalankan di kawasan luar bandar.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada Pertubuhan Perisikan Kebangsaan Turki (MIT), serta usaha dan dedikasi pasukan polis, serta pasukan separa tentera yang turut membantu kejayaan operasi itu.

Tindakan itu dilaksanakan susulan insiden serangan pengebom bunuh diri di Ankara.

Dua pegawai polis mengalami kecederaan ringan, seorang pengganas maut, manakala seorang lagi ditahan.

Kementerian Dalam Negeri Turki mengesahkan penyerang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas PKK.

PKK diisytiharkan sebagai organisasi pengganas oleh Turkiye, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah dan telah melakukan kempen keganasan selama lebih 35 tahun, menyebabkan lebih 40,000 orang terkorban, termasuk wanita, kanak-kanak dan bayi. – 3 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen