PAS belum putus calon kerusi Parlimen Kemaman


Diyana Ibrahim

Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar berkata perbincangan setakat ini hanya menyentuh mengenai pendirian untuk membuat rayuan atau tidak dan bukan soal calon.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2023.

PAS Terengganu belum memutuskan calon bagi kerusi Parlimen Kemaman, sama ada mengekalkan calon yang menang pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) atau menampilkan calon lain, kata naib presidennya Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau yang juga menteri besar Terengganu berkata perbincangan setakat ini hanya menyentuh mengenai pendirian untuk membuat rayuan atau tidak dan bukan soal calon.

“Kita belum buat keputusan lagi sama ada nak kekalkan calon sama atau tidak. Belum ada perbincangan soal itu,” katanya ketika ditemui media selepas persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas keputusan PAS tidak membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 26 September lepas yang membatalkan kemenangan calonnya di kerusi tersebut.

Keputusan itu diumumkan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menerusi kenyataan media awal hari ini.

Takiyuddin berkata , PAS membuat ketetapan itu selepas Hakim Anselm Charles Fernandis hari ini mengesahkan keputusannya membatalkan pilihan raya pada 19 November 2022 itu atas alasan wujud sogokan kepada pengundi.

Mengulas lanjut, Samsuri berkata PAS akan bekerja keras dan tidak akan terlalu yakin menang biarpun mengetahui peluang mereka cerah di kerusi tersebut dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang akan diadakan nanti.

“Kita tak anggap mana-mana kerusi itu mudah dimenangi. Termasuk Rhu Rendang sekali pun yang kita tahu sebagai kubu kuat PAS.

“Kita tetap akan bekerja keras dan anggap sebagai medan untuk bekerja dengan sepenuh hati.

“Dan kita percaya rakyat di kawasan itu juga sangat teruja beri kemenangan kepada kita sekali lagi,” katanya.

Pada PRU15, calon PAS Che Alias Hamid mengalahkan tiga calon lain termasuk bekas Menteri Besar Terengganu Ahmad Said dengan majoriti 27,179 undi.

Umno Terengganu kemudian memfailkan petisyen pilihan raya dan berjaya membuktikan ada elemen rasuah untuk mempengaruhi pengundi di Kemaman semasa PRU15.

Semasa perbicaraan petisyen, antara keterangan yang dikemukakan kepada mahkamah termasuk sumbangan dana bantuan i-Belia dan i-Siswa yang diagihkan di majlis rasmi kerajaan negeri semasa tempoh kempen pilihan raya.

Mahkamah Pilihan Raya sebelum ini membatalkan juga kemenangan calon PAS di kawasan Parlimen Kuala Terengganu, yang pilihan raya kecilnya diadakan pada 12 Ogos lalu.

Dalam pilihan raya kecil itu, calon PAS Ahmad Amzad Hashim yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional sekali lagi menang dan kali ini dengan majoriti jauh lebih besar berbanding PRU15. – 3 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen