Indonesia nafi jadi punca Malaysia berjerebu


Menteri alam sekitar dan perhutanan Indonesia dalam satu kenyataan semalam menafikan dakwaan berhubung jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah di negara itu melintasi Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2023.

KERAJAAN Indonesia melalui Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan (KLHK) menafikan dakwaan berhubung jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah (karhutla) di Indonesia melintasi Malaysia.

Perkara itu dinyatakan Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Siti Nurbaya Bakar menerusi satu kenyataan rasmi di Jakarta pada Isnin bahawa aduan Malaysia mengenai jerebu Indonesia adalah tidak tepat.

“Kami telah memantau keadaan, dan tiada jerebu rentas sempadan yang sampai ke Malaysia,” kata Siti Nurbaya.

Mengenai imej jerebu merentasi sempadan, kementeriannya menerima laporan imej taburan jerebu daripada Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) dan Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) bagi tempoh dari 28 hingga 30 September, sehingga petang Ahad pada 16:00 WIB (Waktu Indonesia Barat).

Menurutnya, tiada jerebu rentas sempadan dari Indonesia yang melintasi Malaysia. Berdasarkan pemerhatian ASMC, beliau berkata selama beberapa hari, jerebu berada pada tahap sederhana hingga pekat di beberapa kawasan di Sumatera dan Kalimantan. Pada 1 Oktober, jerebu mula menebal di Kalimantan Tengah (Kalteng) dan Sumatera Selatan (Sumsel). Namun begitu, tiada jerebu rentas sempadan yang diperhatikan.

ASMC ialah program kerjasama serantau dalam kalangan Perkhidmatan Meteorologi Kebangsaan (NMS) negara anggota Asean. ASMC beroperasi di bawah Perkhidmatan Meteorologi Singapura.

Sementara itu, berdasarkan pemerhatian satelit BMKG, imej taburan jerebu di wilayah Indonesia sepanjang tiga hari itu menunjukkan jerebu dikesan di beberapa kawasan di Sumatera dan Kalimantan. Arah angin lazim di Indonesia biasanya dari tenggara ke barat laut dan timur laut dan tiada jerebu rentas sempadan dikesan.

“Jadi jelas, kedua-dua sumber mengesahkan tiada jerebu rentas sempadan,” kata Siti Nurbaya.

Selain itu, beliau berkata terdapat pelbagai catatan daripada pelbagai pihak yang perlu diberi perhatian. Pada masa ini, kerajaan Indonesia meneruskan usaha untuk memadamkan kebakaran di hutan dan tanah gambut di Sumatera Selatan, Kalimantan Tengah, Kalimantan Selatan, dan beberapa wilayah lain di pulau Sumatera dan Kalimantan, serta beberapa bahagian di Jawa.

Pelbagai operasi sedang dijalankan untuk memadamkan kebakaran bermula dari memadam kebakaran di darat hingga pengeboman air dan teknologi pengubahsuaian cuaca.

KLHK telah mendedahkan bahawa 203 syarikat telah menerima amaran, dan 20 syarikat telah ditutup kerana penglibatan mereka dalam kebakaran, termasuk anak syarikat syarikat Malaysia.

“Kerajaan Indonesia terus bekerja keras untuk menangani isu ini(karhutla),” kata Siti Nurbaya. – Bernama, 3 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen