Parlimen Duma di Russia tukar kepada perisian tempatan


Duma membeli 1,800 lesen OS Astra Linux dan MyOffice untuk kegunaan timbalan dan kakitangan pentadbiran Parlimen. – Gambar Facebook, 2 Oktober, 2023.

DEWAN Rakyat negeri Duma, di Russia mula menggantikan operating system (OS) Windows dan Microsoft Office yang digunakan sebelum ini dengan perisian domestik, lapor media tempatan.

Duma membeli 1,800 lesen OS Astra Linux dan MyOffice untuk kegunaan timbalan dan kakitangan pentadbiran Parlimen, lapor Xinhua memetik akhbar Russia Saint-Petersburg Vedomosti.

Jumlah kos pembelian dianggarkan sekitar 52.5 juta rubel (AS$536,000).

Pada masa ini, empat jabatan di Duma beralih kepada perisian baharu dan akan diperluaskan ke bahagian lain selepas ini, menurut laporan itu.

Astra Linux OS dan MyOffice merupakan sistem perisian buatan Russia.

Peralihan kepada perisian domestik dilakukan selepas Microsoft Corporation pada Mac tahun lalu mengumumkan akan meninggalkan pasaran Russia, menggantung penjualan produk dan perkhidmatan di Russia, susulan pencerobohan ke atas Ukraine. – Bernama, 2 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen