Belanda henti pengeluaran gas di Groningen, medan terbesar di Eropah


Belanda menghentikan pengeluaran gas di medan gas terbesarnya di Eropah yang terletak di wilayah Groningen kerana risiko gempa bumi. – Gambar AFP, 2 Oktober, 2023.

BELANDA menghentikan pengeluaran gas di medan gas terbesarnya di Eropah yang terletak di wilayah Groningen pada 1 Oktober, selepas 60 tahun medan itu beroperasi, lapor Sputnik.

Menurut Netherlands Broadcasting Corporation (NOS), keputusan untuk menghentikan pengeluaran gas dibuat kerana risiko gempa bumi.

Bagaimanapun pada Jun, media melaporkan telaga gas mungkin dibuka tahun depan sekiranya musim sejuk ekstrim melanda.

Medan gas Groningen yang terletak di utara Belanda dijumpai pada tahun 1959, dan pembangunannya bermula pada 1963.

Rizab awal gas dianggarkan sebanyak 2.9 trilion meter padu.

Medan gas itu merupakan sumber utama bekalan gas ke Eropah Barat Laut selama bertahun-tahun, namun akibat gempa bumi yang kerap berlaku di wilayah itu pada 1990-an kerajaan Belanda memutuskan untuk mengehadkan pengeluaran secara beransur-ansur. – Bernama, 2 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen