DUA maut manakala 11 lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah van dan sebuah kereta di Jalan Gerik-Baling, dekat Gerik, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata mangsa yang maut adalah lelaki yang memandu kereta jenis Perodua Kenari dan penumpangnya seorang kanak-kanak lelaki.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 2.32 pagi dan setibanya jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik mendapati kemalangan melibatkan sebuah van Toyota Hiace dengan Perodua Kenari melibatkan 13 mangsa.
“Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan dua mangsa dalam kereta Kenari maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabarodzi berkata operasi mengeluarkan mangsa dilakukan menggunakan peralatan keselamatan dan mangsa yang cedera, terdiri daripada tiga lelaki dewasa, empat wanita dewasa dan empat kanak-kanak lelaki, telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. – Bernama, 2 Oktober, 2023.
Komen