PROSIDING Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi (PSSC) hendaklah disiarkan secara langsung, gesa sebuah kumpulan hak asasi.
Rakyat Malaysia Menentang Hukuman Mati dan Penyeksaan (Madpet) berkata ia boleh dimulakan dengan prosiding bagi mendapatkan penjelasan peguam negara berhubung keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskan timbalan perdana menteri itu.
Jurucakap Madpet Charles Hector dalam satu kenyataan hari ini berkata ini penting untuk orang ramai tahu apa yang sebenarnya berlaku, terutamanya apa yang dikatakan oleh individu yang dipanggil untuk memberi keterangan dalam prosiding tersebut.
“Orang ramai ingin mengetahui dan memantau ahli Parlimen mereka yang terlibat, dan bagaimana kelakuan wakil rakyat mereka dalam prosiding dan bagaimana keputusan dibuat.
“Mereka mahu dengar semuanya, bukan hanya kesimpulan akhir,” katanya.
Charles mengulas laporan Sin Chew Daily bahawa prosiding bagi membincangkan isu DNAA Zahid dibuat secara tertutup.
Pengerusi PSSC William Leong dipetik akhbar itu sebagai berkata jawatankuasa itu mematuhi Peraturan Mesyuarat Parlimen yang tidak membenarkan prosiding secara langsung.
Mengulas perkara itu Hector berkata kerajaan boleh meminda Perintah Tetap Parlimen untuk membenarkan prosding secara langsung bagi menjamin ketelusan Parlimen dan jawatankuasa-jawatankuasa khas Parlimen.
“Laporan semata-mata tidak mencukupi kerana ia tidak menjelaskan secara menyeluruh berkenaa, soalan, jawapan, atau undian yang dibuat,” katanya.
Beliau selain itu berkata PSSC sepatutnya memanggil juga bekas timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran bagi mendapatkan penjelasan terhadap isu DNAA Zahid. – 2 Oktober, 2023.
Komen