Presiden Iran kecam usaha normalisasi hubungan dengan Israel


Presiden Iran Ebrahim Raisi menyifatkan usaha untuk menormalkan hubungan dengan rejim Zionis sebagai langkah regresif. – Gambar EPA, 2 Oktober, 2023.

PRESIDEN Iran Ebrahim Raisi mengecam usaha untuk menormalkan hubungan dengan rejim Zionis dan menyifatkan langkah itu sebagai regresif yang sekadar memenuhi kehendak kuasa luar wilayah.

Usaha untuk menormalkan hubungan dengan rejim Zionis merupakan penunjuk kerajaan yang reaksioner dan regresif,” kata Raisi ketika berucap pada Persidangan Perpaduan Islam Antarabangsa ke-37 (IIUC ke-37) di Tehran pada Ahad, dipetik agensi berita Iran IRNA.

Beliau berkata pilihan untuk “menyerah dan berkompromi” kepada rejim Zionis bukan lagi menjadi agenda perbincangan, sebaliknya tumpuan dan perhatian perlu diberikan kepada usaha membebaskan al-Quds dan Palestin yang diduduki yang menjadi petunjuk terpenting perpaduan umat Islam.

“Cara menangani musuh bukanlah berkompromi dan menyerah kalah, tetapi mempunyai rintangan dan daya tahan yang mampu memaksa (rejim) berundur,” katanya.

Raisi berkata rejim itu tidak mahu umat Islam bersatu, berusaha ke arah perpaduan ummah bertindak mengikut cita-cita Islam, sebaliknya mereka yang cuba mewujudkan perpecahan dalam dunia Islam pula sedang bergerak ke arah merealisasikan strategi rejim.

IIUC ke-37 bermula pada 28 September bertepatan 12 Rabiulawal, permulaan minggu perpaduan dan berakhir pada 3 Oktober. – Bernama, 2 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen