Misi PBB tiba di Nagorno-Karabakh selepas 30 tahun


Pada 28 September pemimpin terbaharu wilayah yang memisahkan diri, Samvel Shahramanyan mengumumkan Republik Nagorno-Karabakh akan secara rasmi tidak lagi wujud pada 1 Januari 2024.

ANGGOTA misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kini berada di Stepanakert, Nagorno-Karabakh yang juga dikenali sebagai Khankendi buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun, lapor Sputnik memetik Agensi Akhbar Azerbaijan (APA).

Misi yang merangkumi wakil pelbagai agensi PBB itu akan berada di sana untuk menilai keperluan kemanusiaan penduduk tempatan.

Pada 19 September Azerbaijan melancarkan apa yang dipanggil “aktiviti antipengganas peringkat tempatan” di Nagorno-Karabakh.

Menerusi pengantaraan oleh pasukan pengaman Rusia, pihak berkuasa Nagorno-Karabakh bersetuju untuk meletakkan senjata dan menyerahkannya kepada Baku pada hari berikutnya.

Armenia berkata ia bukan sebahagian daripada rundingan, tetapi kerajaan Azerbaijan berikrar akan berusaha untuk memastikan “integrasi” rakyat Armenia Nagorno-Karabakh yang memilih untuk kekal di wilayah itu.

Pada 28 September pemimpin terbaharu wilayah yang memisahkan diri, Samvel Shahramanyan secara rasmi menggugurkan semua tuntutan kemerdekaan daripada Baku, dan mengumumkan Republik Nagorno-Karabakh yang diisytiharkan sendiri yang juga dikenali sebagai Artsakh, akan secara rasmi tidak lagi wujud pada 1 Januari 2024. – Bernama, 2 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen