3 maut dalam pertempuran menjelang pilihan raya Liberia


Setiausaha Agung CDC Jefferson Koijee berkata sekurang-kurangnya tiga terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam pertempuran antara penyokong dua parti politik utama Liberia. – Gambar EPA, 2 Oktober, 2023.

SEKURANG-KURANGNYA tiga orang terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam pertempuran antara penyokong dua parti politik utama Liberia, parti pemerintah Coalition for Democratic Change (CDC) dan pembangkang Unity Party di Lofa County di barat laut negara itu, kata Setiausaha Agung CDC Jefferson Koijee semalam, lapor Sputnik.

“(CDC) mendapati beratus-ratus penyokong Unity Party tanpa provokasi mendalangi dan melakukan serangan yang disengajakan ke atas premis (calon perundangan CDC daerah Foya yang ditandingi calon (Thomas) Fallah.

“Mereka merosakkan harta benda, merompak gerai di pasar, membunuh tiga penduduk yang tidak bersalah manakala lima lagi disahkan mengalami pelbagai kecederaan,” menurut Koijee dipetik oleh Agensi Berita Liberian Observer.

Bagaimanapun Unity Party menafikan dakwaan Koijee sebaliknya menuduh penyokong CDC menghasut untuk memulakan keganasan.

Pasukan penyiasat khas ditubuhkan untuk menyiasat kejadian itu, kata polis Liberia.

Pilihan raya umum dijadualkan berlangsung di Liberia pada 10 Oktober untuk memilih presiden negara itu, wakil Dewan Rakyat dan Dewan Negara. – Bernama, 2 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen