KERAJAAN meluluskan dana awal sebanyak RM1.9 juta untuk membaiki kerosakan yang dialami Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang To’ Kandu di Permatang Pauh akibat kebakaran pada 22 September lepas, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek datang mendengar taklimat dan sekarang Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menyiapkan laporan awal.
“Saya sudah arahkan semua laporan disiapkan segera supaya projek ini akan dapat dilaksanakan.
“Dana-dana kecil seperti pembersihan, penghadang keselamatan dan sebagainya sudah diluluskan. Jumlah dana awal dianggarkan RM1.9 juta diluluskan,” katanya kepada pemberita selepas melawat sekolah itu di Permatang Pauh, hari ini.
Anwar berkata kerajaan sekarang memang cekap dan cepat dalam menangani masalah yang menimpa rakyat.
“Kalau boleh laporan awal siap minggu depan, minggu depan kita buat tender terhad…kerajaan sekarang cekap dan cepat,” katanya.
Beliau berkata projek ini akan dibuat secara ‘fast-track’ dan bukan tender biasa.
“Kita nak buat proses ‘fast track’ bukan tender biasa tetapi tender terhad supaya projek ini dapat dipercepatkan dan tidak menganggu pelajaran anak-anak di sini,” kata beliau.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, 22 September lepas, lima bilik darjah di bangunan empat tingkat sekolah itu terbakar dan ketika kejadian tiada murid di sekolah kerana lepas waktu persekolahan manakala guru pula berada di bilik guru.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat kebakaran itu. – Bernama, 1 Oktober, 2023.
Komen