PIHAK berkuasa Kemboja menahan 14,722 suspek berkaitan dadah termasuk 331 warga asing dalam tempoh sembilan bulan pertama 2023, lapor Xinhua memetik laporan Jabatan Anti-Dadah pada Ahad.
Kira-kira 51% daripada suspek terdiri pengedar, pengilang dan pengangkut dadah manakala selebihnya penagih.
“Sebanyak 2.68 tan dadah terlarang dan kira-kira 911 kilogram (kg) ramuan, dirampas daripada suspek sepanjang tempoh Januari hingga September 2023,” menurut laporan itu.
Kebanyakan dadah yang dirampas membabitkan ketamin, heroin, ekstasi, kokain, kristal methamphetamine, pil methamphetamine dan katinon.
Berbanding tempoh yang sama tahun lepas, Kemboja menyaksikan peningkatan jumlah tahanan dadah tetapi merekodkan penurunan jumlah rampasan dadah.
Dalam tempoh sembilan bulan pertama pada 2022, pihak berkuasa menahan 11,431 suspek dadah dan merampas 6.25 tan dadah.
Undang-undang Kemboja menetapkan penjara seumur hidup ke atas sesiapa yang didapati bersalah mengedar lebih daripada 80 gram dadah. – Bernama, 1 Oktober, 2023.
Komen