Rombakan Kabinet hak mutlak PM, kata Johari


Naib Presiden Umno Johari Abdul Ghani berkata keputusan rombakan Kabinet adalah hak mutlak perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim perlu diberikan ruang untuk membuat sebarang keputusan berhubung rombakan Kabinet, kata Naib Presiden Umno Johari Abdul Ghani.

Johari yang juga ahli Parlimen Titiwangsa berkata keputusan sedemikian adalah hak mutlak perdana menteri.

“Perdana menteri akan susun dia punya pasukan, macam main bola. Dia tidak boleh main sorang-sorang. Dia ada pasukan yang masing-masing mempunyai kepakaran tersendiri yang perlu mengambil masa untuk menyesuaikan.

“Tidak boleh mana-mana pihak memberi tekanan sebab kita kena ambil kira kerajaan perpaduan ini baru 10 bulan,” kata beliau selepas menyantuni masyarakat Orang Asli di Perkampungan Orang Asli Sungai Gapoi di Bentong, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kemungkinan berlaku penyusunan semula Kabinet dalam masa terdekat, dengan beberapa menteri diramal bakal digugurkan dan dakwaan rombakan berkenaan hanya akan dilakukan selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai pada 7 Oktober ini. – Bernama, 1 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen