Britain sekat lebih ketat bahan buat bom 


Kerajaan UK menguatkuasakan undang-undang lebih ketat penjualan bahan kimia yang boleh digunakan untuk membuat bom bagi melindungi rakyat berikutan serangan pengganas di Manchester Arena pada 2017. – Gambar EPA, 1 Oktober, 2023.

BRITAIN pada Ahad menguatkuasakan langkah untuk membanteras penjualan bahan kimia untuk membuat bom, lapor Agensi Berita Jerma(dpa). 

Langkah itu selari dengan komitmen kerajaan United Kingdom (UK) untuk menyemak sama ada undang-undang berkenaan cukup ketat bagi melindungi rakyat berikutan serangan pengganas di Manchester Arena pada 2017.

Di bawah perubahan itu, terdapat keperluan yang lebih ketat untuk melaporkan aktiviti yang mencurigakan, termasuk kewajipan baharu bagi pasaran dalam talian.

Maklumat pelanggan, seperti foto akan direkodkan apabila menjual bahan terkawal kepada pengguna perniagaan.

Perubahan yang kali pertama diumumkan pada bulan Januari itu akan dikuatkuasakan melalui pembaharuan Akta Racun.

Salman Abedi, 22, yang lahir dan dibesarkan di Manchester meletupkan bom buatan sendiri di kawasan City Room foyer Arena pada penghunung konsert bintang pop Amerika, Ariana Grande pada 22 Mei, enam tahun yang lalu.

Letupan itu mengorbankan 22 orang dan mencederakan ratusan yang lain. 

Kementerian Dalam Negeri berkata sebagai sebahagian daripada perubahan, sekatan baharu ke atas racun juga akan diperkenalkan.

Bahan-bahan tambahan telah ditambahkan ke dalam senarai racun terkawal, termasuk 2,4-dinitrofenol yang juga dikenali sebagai DNP, selain zink fosfida dan heksamina yang sering digunakan dalam bunga api.

Kini adalah menjadi satu kesalahan jenayah untuk menjual bahan berkenaan kepada orang awam tanpa lesen yang sah.

Menteri Keselamatan Tom Tugendhat berkata: “Langkah baharu itu akan membantu mengelakkan bahan terkawal berbahaya daripada jatuh ke pihak yang tidak bertanggungjawab.”

Penasihat Konsortium Runcit British, Adrian Simpson, berkata: “Peruncit memainkan peranan penting dalam mengesan sebarang aktiviti yang mencurigakan daripada pelanggan.

“Kami mengalu-alukan langkah baharu itu kerana peruncit memainkan penting dalam melindungi orang ramai dengan memastikan semua perubahan dimaklumkan dengan jelas kepada pelanggan mereka,” katanya.

Menteri-menteri berunding mengenai langkah itu antara Disember 2021 dan Mac 2022 sebelum meletakkan undang-undang sekunder pada awal tahun 2023 untuk menguatkuasakan kawalan lebih ketat ke atas bahan-bahan dan racun tambahan berkenaan.

Akta Racun 1972 menetapkan kawalan ke atas bahan kimia yang boleh digunakan untuk membuat bahan letupan dan racun, menyekat akses orang awam kepada bahan-bahan yang paling berbahaya. – Bernama, 1 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen