PENGUTIPAN yuran bayaran yang dibuat menerusi DuitNow QR akan menjadi agenda mesyuarat Majlis Tindakan Negara tentang Kos Sara Hidup, pada Selasa.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata Perdana Menteri akan mempengerusikan mesyuarakat khas itu yang akan turut dihadiri wakil Bank Negara Malaysia selaku penyelia sektor perbankan negara.
“Sejumlah 1.874 juta orang menggunakan platform DuitNow QR (untuk transaksi nirtunai).
“Jika hampir 1.9 juta orang guna DuitNow, berapa banyak duit bank buat? Kami (kementerian) takut pengguna akan terkesan,” katanya seperti dipetik The Star Online, hari ini.
Beliau mengeluarkan kenyataan itu ketika ditanya wartawan selepas satu majlis di Melaka semalam.
“Kami bimbang yang yuran transaksi akan memberikan kesan negative kepada peniaga (kecil dan sederhana) ini dan pengguna,” katanya.
Semalam, Anwar berkata pengenaan yuran transaksi tidak akan membebankan kumpulan berpendapatan rendah di negara ini.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata beliau sudah bertemu dengan Gabenor Bank Negara Shaikh Abdul Rasheed Abdul Ghaffour untuk mendapatkan penjelasan isu berkenaan.
“Tarik balik caj adalah keputusan BNM, jadi Bank Negara ada tugasnya, biar dia laksanakan tugasnya.
“Sekarang yang penting (caj) tidak akan membebankan golongan pendapatan rendah,” katanya.
Khamis lepas, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mengesahkan yuran transaksi akan dikenakan ke atas peniaga untuk bayaran yang diterima menerusi platform DuitNow Qr berkuatkuasa 1 November 2023.
Ini susulan pembatalan pelepasan yuran bayaran DuitNow QR yang diberikan bagi menggalakkan penggunaannya ketika ia mula diperkenalkan pada 2019 dan dilanjutkan disebabkan pandemic Covid-19.
Beberapa bank termasuk CIMB, Public Bank, Maybank, Hong Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank sudah mengumumkan yang mereka akan mengecualikan yuran itu buat masa sekarang. – 1 Oktober, 2023.
Komen