Belon api tarik perhatian sekatan Israel di Gaza, kata penganalisis


Rakyat Palestin menggunakan alat letupan buatan semasa pertempuran dengan pasukan keselamatan Israel di selatan Semenanjung Gaza pada 27 September lepas. – Gambar AFP, 1 Oktober, 2023.

RAKYAT Palestin kembali melancarkan belon api dari Semenanjung Gaza ke Israel buat kali pertama sejak 2021.

Penganalisis percaya langkah itu sebahagian usaha Palestin untuk menarik perhatian kepada sekatan Israel yang berlarutan selama 16 tahun.

Pelancaran itu berlaku di tengah-tengah bantahan Palestin sepanjang minggu lalu yang menyebabkan serangan udara Israel terhadap kedudukan Hamas di Gaza.

“Itu lambang kemarahan Palestin kepada (pendatang) pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa, pembunuhan dan pengepungan Gaza,”  kata jurucakap Hamas, Hazem Qasem, lapor Agensi Anadolu.

Ketegangan semakin memuncak di Tebing Barat yang diduduki sejak beberapa bulan kebelakangan ini di tengah-tengah serbuan tentera Israel berulang kali ke bandar-bandar Palestin.

Menurut Kementerian Kesihatan lebih 230 rakyat Palestin terbunuh akibat tembakan Israel sejak awal tahun ini.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 35 warga Israel terbunuh dalam tempoh yang sama, menurut data Israel.

Ratusan pendatang Israel masuk ke kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki sejak beberapa hari kebelakangan ini untuk meraikan perayaan Yahudi.

Qasem berkata serangan udara Israel di kedudukan Hamas sebagai percubaan menakut-nakutkan belia Palestin yang memberontak.

“Walaupun serangan berulang terhadap kawasan kami, Hamas akan terus menyokong perjuangan sama ada di Gaza, Tebing Barat atau Baitulmaqdis,” kata jurucakap itu. – Bernama, 1 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen