Bank makanan terjejas teruk akibat kenaikan harga beras


Angie Tan

Kebanyakan bank makanan di negara ini berdepan pengurangan drastik dalam sumbangan beras berikutan kenaikan harga komoditi itu baru-baru ini. – Gambar ihsan Justin Cheah, 1 Oktober 2023.

KENAIKAN harga makanan terutamanya beras baru-baru ini menjejaskan operasi bank makanan dengan teruk apabila penyumbang mula merasakan tekanan kewangan, kata beberapa pengusaha bank makanan.

Sumbangan beras berkurangan sebanyak 80%, kata pengusaha bank makanan kepada The Malaysian Insight.

Walaupun kebanyakan pengendali bimbang dengan pengurangan drastik dalam salah satu komoditi makanan asas mereka, pengendali seperti pengasas dan pengarah House of Love, Joseph Pang, berkata ini sudah dijangka.

“Setiap kali harga barang makanan naik, kuantiti barang yang disumbangkan itu pasti berkurangan.

“Dahulu apabila harga minyak masak meningkat, kuantiti minyak masak yang disumbangkan berkurangan daripada tiga botol kepada hanya satu botol. Begitu juga dengan beras yang kini berkurangan 60% hingga 70%.

“Penyumbang yang menjanjikan kami beras tidak dapat mencari beras tempatan yang murah di pasar raya. Beras 10kg yang berharga kira-kira RM20 kini sukar didapati,” katanya.

Pang berkata buat masa ini House Of Love tidak perlu bimbang untuk membeli beras kerana mereka mempunyai bekalan yang boleh bertahan dua hingga tiga bulan lagi.

“Namun selepas itu kami tidak pasti,” katanya.

Katanya rumah anak yatim di Klang, Selangor itu menerima sumbangan yang cukup besar daripada sebuah tokong sebelum kenaikan harga beras.

Untuk menghulurkan bantuan kepada lebih ramai orang yang memerlukan, rumah anak yatim itu membuka bank makanan.

Pang berkata sekiranya akan datang mereka kekurangan beras, mereka mungkin boleh beralih kepada alternatif lain seperti mi, termasuk mi segera.

House of Love mengedarkan bekalan makanan kepada kira-kira 160 isi rumah di Lembah Klang dengan setiap isi rumah menerima kira-kira RM200 makanan terutamanya makanan kering dan keperluan harian.

Pengerusi Persatuan TCM Harapan Baru di Ipoh, Perak, Lau Yit Meng turut berkongsi masalah kekurangan sumbangan.

Pusat perubatan tradisional Cina ini mengendalikan bank makanan sejak 2021 untuk membantu warga emas yang memerlukan di negeri ini.

Lau berkata inflasi juga meningkatkan perbelanjaan operasi mereka.

“Dalam keadaan seperti ini apa yang kita beli tidak semestinya berkualiti.

“Keutamaan adalah membeli dalam kuantiti. Oleh itu kami tidak membeli barangan daripada jenama terkenal.

“Ia agak lebih mahal. Kami membeli yang tidak berjenama. Perbezaan harga mungkin ketara,” kata Lau.

Apabila sumbangan berkurangan bilangan mereka yang mendapatkan bantuan meningkat, katanya.

Lau berkata bilangan bank makanan di Ipoh juga menurun secara mendadak sejak sekatan wabak Covid ditarik balik.

Beliau berkata mungkin hanya tinggal tiga sahaja lagi termasuk Persatuan TCM Harapan Baru.

“Kami perlu terus beroperasi kerana kami benar-benar mahu membantu orang,” katanya. – 1 Oktober, 2023.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen