Jambatan Sungai Musah runtuh, Sarawak bina baharu


Jambatan Sungai Musah sepanjang 166 meter itu runtuh 21 September lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2023.

SEBUAH jambatan bailey akan dibina sebagai langkah sementara bagi menggantikan Jambatan Sungai Musah di Jalan Tekalit-Musah kira-kira 26km dari bazar pekan Song yang runtuh pada 21 September lepas.

Ia khusus bagi kemudahan penduduk di Ulu Katibas di Kapit yang terputus hubungan jalan darat akibat runtuhan jambatan itu.

Timbalan Premier Sarawak, Amar Douglas Uggah Embas berkata RM4.8 juta akan diperuntukkan bagi menanggung kos pembangunan jambatan itu selain pelbagai kos untuk menyediakan kemudahan buat orang ramai menyeberang Sungai Musah setiap hari sementara menanti jambatan siap.

“Mereka (Jabatan Kerja Raya) menyasarkan jambatan bailey boleh disiapkan dalam tempoh sebulan dan saya yakin mereka boleh melakukannya dalam tempoh masa itu,” kata Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa melawat Jambatan Sungai Musah yang runtuh selepas mendengar taklimat oleh pegawai Jabatan Kerja Raya Sarawak mengenai kejadian itu.

Katanya seorang perunding sudah dilantik untuk mengkaji punca jambatan itu runtuh dan kerajaan akan memutuskan tindakan seterusnya selepas kajian itu disiapkan.

Uggah seterusnya memberi jaminan keselamatan semua jambatan di Sarawak sentiasa menjadi keutamaan dengan setiap jambatan sering diperiksa dan dipantau dengan baik oleh pihak berkuasa.

“Malang sekali apabila kejadian di Jambatan Sungai Musah ini berlaku dan kami mohon maaf kepada semua penduduk di sini atas segala kesulitan yang timbul akibat kejadian itu,” katanya.

Beliau berkata Jambatan Sungai Musah yang berharga RM55 juta itu dibina pada 27 Mei 2011 dan siap pada 18 Februari 2014.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian runtuhan jambatan sepanjang 166 meter itu pada jam 9.30 malam, 21 September lepas. – Bernama, 30 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen