SPRM temui bukti baharu dalam dakwaan rasuah babitkan Radzi Jidin


Alfian Z.M. Tahir

Bekas menteri pendidikan Radzi Jidin didakwa terlibat dengan skandal projek buku bernilai RM80 juta.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2023.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemui bukti baharu dalam siasatannya terhadap skandal projek buku bekas menteri pendidikan Radzi Jidin yang didakwa bernilai RM80 juta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara ini oleh pegawainya berikutan penahanan setiausaha politik Radzi seminggu lalu.

“Saya telah dimaklumkan oleh pegawai penyiasat bahawa banyak bukti baharu telah dikumpul. Kita akan teruskan siasatan.

“Beri kami sedikit masa (untuk menyelesaikan siasatan),” katanya kepada pemberita pada majlis SPRM yang diadakan di Penjara Kajang hari ini.

Ditanya sama ada SPRM akan memanggil naib presiden Bersatu dalam masa terdekat, Azam berkata beliau akan menyerahkan perkara itu kepada anak buahnya.

Minggu lalu, SPRM menahan dua individu termasuk bekas setiausaha politik kepada Radzi kerana disyaki meminta dan menerima rasuah untuk projek RM80 juta.

Suspek kedua ialah pemilik sebuah syarikat berusia lewat 50-an.

Kedua-duanya didakwa bersubahat dengan bekas menteri itu untuk meminta dan menerima rasuah sebagai balasan untuk kelulusan projek buku melalui rundingan terus.

Sabtu lalu, Radzi mengeluarkan kenyataan menafikan beliau meluluskan projek itu secara rundingan terus dan mendakwa penahanan oleh SPRM diarahkan pihak berkuasa berikutan kemarahannya di Dewan Rakyat minggu lepas. – 30 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen