Bank Dunia lulus AS$265 juta perkasa wanita rantau Afrika


Secara keseluruhan jumlah pelaburan Bank Dunia ke arah pemerkasaan wanita di Afrika sebanyak AS$1.04 bilion setakat ini. – Gambar AFP, 30 September, 2023.

BANK Dunia pada Sabtu meluluskan pembiayaan bernilai AS$365 juta untuk Persatuan Pembangunan Antarabangsa (IDA) bagi projek Pemerkasaan Wanita dan Demografik Dividen Plus (SWEDD+) Sub-Sahara Afrika.

Projek itu bertujuan untuk meningkatkan akses kanak-kanak perempuan dan wanita kepada pembelajaran, peluang ekonomi dan perkhidmatan kesihatan, serta mengukuhkan kapasiti institusi untuk kesaksamaan gender di barat dan tengah Afrika, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).

SWEDD+ berpotensi untuk memberi manfaat secara langsung kepada lebih dua juta kanak-kanak perempuan kurang bernasib baik, berumur antara 10 dan 19 tahun di Burkina Faso, Chad, Senegal, Gambia dan Togo yang berisiko dikahwinkan, hamil, menjadi mangsa keganasan dan terpaksa berhenti sekolah.

Negara lain di rantau itu boleh menyertai dan mungkin mendapat manfaat dengan aktiviti yang dijalankan di peringkat serantau.

“Memperkasakan remaja perempuan dan wanita adalah penting untuk mempercepatkan peralihan demografi Afrika, meningkatkan hasil pembangunan manusia dan membina modal insan serta pertumbuhan ekonomi yang inklusif.

“Dengan melabur untuk wanita dan kanak-kanak perempuan, negara akan membina komuniti berdaya tahan yang boleh bangkit daripada krisis dan menyesuaikan diri dengan ancaman yang semakin meningkat, seperti perubahan iklim,” kata Naib Presiden Bank Dunia untuk Afrika Barat dan Tengah, Ousmane Diagana dalam satu kenyataan. 

SWEDD+ meliputi sembilan negara – Benin, Burkina Faso, Cameroon, Chad, Cote d’Ivoire, Guinea, Mali, Mauritania dan Niger.

Bekerjasama dengan dua institusi serantau, Komuniti Ekonomi Negara Afrika Tengah (ECCAS) dan Komuniti Ekonomi Negara Afrika Barat (ECOWAS), SWEDD+ akan membina pengetahuan, kapasiti dan komitmen serantau, serta menerima pakai dasar yang diselaraskan untuk meningkatkan pemerkasaan wanita merentasi negara.

Secara keseluruhan jumlah pelaburan Bank Dunia ke arah pemerkasaan wanita di Afrika sebanyak AS$1.04 bilion setakat ini. – Bernama, 30 September, 2023.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen