Wakil AS sentuh kes bunuh aktivis Sikh ketika bertemu menteri luar India


Setiausaha Negara AS Antony Blinke bertemu Menteri Hal Ehwal Luar India Subrahmanyam Jaishankar di Washington. – Gambar Facebook, 30 September, 2023.

PEGAWAI Amerika Syarikat (AS) membangkitkan dakwaan Kanada yang mengaitkan India dalam pembunuhan seorang aktivis Sikh Kanada, semasa pertemuan dengan menteri luar India di Washington.

“Mereka berkongsi pandangan dan penilaian AS mengenai keseluruhan situasi ini,” Agensi Anadolu memetik Menteri Hal Ehwal Luar Subrahmanyam Jaishankar sebagai berkata kepada panel di Institut Hudson mengenai pertemuan itu yang berlangsung pada Khamis. 

Jaishankar berkata beliau menjelaskan kepada Setiausaha Negara AS Antony Blinken dan Penasihat Keselamatan Negara Wahite House Jake Sullivan mengenai kebimbangan India terhadap Kanada.

“Perdana menteri Kanada membuat beberapa dakwaan secara tertutup dan terbuka. Dan respons kami adalah dakwaan itu tidak konsisten dengan dasar kami,” katanya.

Beliau menuduh Kanada menyembunyikan “pengganas, pelampau, orang yang secara terbuka menyokong keganasan.”

“Berlaku ketegangan dengan Kanada, dan saya sebenarnya berada dalam situasi tidak selamat pergi ke kedutaan atau ke konsulat di Kanada,” kata menteri luar India itu.

Trudeau pada 18 September menuduh kerajaan India menembak mati Hardeep Singh Nijjar.

Nijjar ditembak mati pada 18 Jun di hadapan sebuah kuil Sikh di Surrey. – Bernama, 30 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen