4 lagi pegawai ditahan susulan bencana banjir Libya


Taufan Daniel menyebabkan dua empangan di bandar Derna pecah, lalu mengakibatkan banjir besar yang mengorbankan nyawa lebih 8,000 nyawa. – Gambar Facebook, 30 September, 2023.

KETUA pendakwa raya Libya mengarahkan empat lagi pegawai ditahan, menjadikan jumlah keseluruhan 12 individu setakat ini susulan siasatan kejadian banjir bulan ini yang mengorbankan ribuan orang.

Banjir yang disebabkan oleh ribut ribut Daniel melanda timur Libya pada 10 September, menyebabkan sekurang-kurangnya 3,893 orang terbunuh dan ribuan lagi hilang.

Bandar tepi pantai Derna paling teruk dilanda banjir kilat, yang saksi dakwa seperti tsunami. Ia menyebabkan dua empangan pecah dan membanjiri seluruh kawasan kejiranan.

Empat suspek tambahan, termasuk dua anggota majlis perbandaran Derna, ditahan kerana disyaki tidak melakukan misi pengurusan dan kewangan dengan baik, kata satu kenyataan dikeluarkan oleh pejabat pendakwa raya di Tripoli, barat Libya.

Pada Isnin, pejabat itu mengarahkan penahanan lapan pegawai, termasuk datuk bandar Derna yang dipecat selepas banjir.

Pendakwa raya Libya Al-Seddik al-Sour adalah milik kerajaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa di barat negara itu. 

Pentadbiran pesaing di timur yang dilanda banjir, disokong kuat tentera Khalifa Haftar.

Kerajaan timur berkata ia merancang menjadi tuan rumah persidangan penderma antarabangsa di Benghazi pada 10 Oktober untuk memberi tumpuan kepada pembinaan semula kawasan dilanda banjir, tetapi kegagalannya melibatkan kerajaan Tripoli mendapat kritikan daripada penderma.

Libya dilanda perpecahan sejak pemberontakan yang disokong Nato menggulingkan dan membunuh Moamer Kadhafi pada 2011.

Amerika Syarikat menyeru rakyat Libya mengetepikan perbezaan politik dan bersetuju dengan rangka kerja untuk menyalurkan bantuan ke bandar timur.

“Kami menggesa pihak berkuasa Libya sekarang membentuk struktur bersatu—daripada melancarkan usaha berasingan—yang mewakili rakyat Libya tanpa berlengah-lengah,” kata utusan khas AS Richard Norland dalam satu kenyataan pada Jumaat.

“Cadangan mengadakan persidangan pembinaan semula di Benghazi pada 10 Oktober akan lebih berkesan jika ia dijalankan secara bersama dan inklusif.”

Norland menyuarakan kebimbangan yang dinyatakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bahawa mekanisme perlu disediakan untuk memastikan bantuan asing dibelanjakan secara bertanggungjawab.

“Rakyat Libya perlu diberi jaminan yang dana awam digunakan secara telus, bertanggungjawab, dan bantuan itu disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” kata utusan AS itu.

Pada Khamis semasa perbincangan dengan Suruhanjaya Eropah, wakil PBB Abdoulaye Bathily berkata beliau menggesa pemantauan dana.

“Saya… menekankan keperluan penilaian bersama keperluan pembinaan semula kawasan yang dilanda ribut bagi memastikan akauntabiliti sepenuhnya dalam pengurusan sumber pembinaan semula,” katanya.

Pada Jumaat, pihak berkuasa timur berkata mereka akan mula membayar pampasan kepada mereka yang terjejas akibat bencana itu, yang menurut agensi PBB melibatkan lebih 43,000 orang.

“Cek diserahkan kepada datuk bandar” selepas jawatankuasa bantuan menerima rekod kerosakan akibat banjir, kata kerajaan yang berpangkalan di timur Libya dalam satu kenyataan.

Mereka yang mengalami kemusnahan kediaman akan menerima pampasan 100,000 dinar (AS$20,500), kata Faraj Kaeem, timbalan menteri dalam negeri pentadbiran timur, secara berasingan.

Manakala rumah yang rosak sebahagian akan mendapat 50,000 dinar dan yang kehilangan perabot atau peralatan rumah akan diberi 20,000 dinar, katanya.

Pentadbiran timur mengumumkan pada Rabu inisiatfi dana untuk pembinaan semula Derna.

Pihak berkuasa masih belum menyatakan bagaimana dana baharu itu akan dibiayai, tetapi Parlimen yang berpangkalan di timur memperuntukkan 10 bilion dinar untuk projek pembinaan semula. – AFP, 30 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen