China sokong usaha PBB dalam pendidikan kanak-kanak perempuan, wanita 


ISTERI Presiden China, Prof. Peng Liyuan, berkata China bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), khususnya dalam penubuhan Anugerah Pendidikan Kanak-kanak Perempuan dan Wanita.

Beliau yang juga Duta Khas Unesco bagi Pendidikan Kanak-kanak Perempuan dan Wanita berkata usaha itu menjadi teladan baik dan memberikan pengalaman kepada dunia dalam bidang berkenaan.

Justeru, beliau berharap lebih ramai individu akan menyertai pendidikan kanak-kanak perempuan dan wanita, membantu golongan itu mengubah nasib mereka melalui pendidikan dan membantu meningkatkan nilai kehidupan mereka.

“China amat mementingkan usaha untuk menjamin hak wanita dalam mendapatkan pendidikan sama rata dan berharap untuk bekerjasama dengan semua pihak untuk meningkatkan kerjasama dan pertukaran antarabangsa bagi mempromosikan perkembangan pendidikan berkualiti tinggi untuk kanak-kanak perempuan dan wanita di seluruh dunia,” katanya.

Beliau bersama dengan Ketua Pengarah Agung Unesco Audrey Azoulay menghadiri upacara penyampaian Anugerah Pendidikan Kanak-kanak Perempuan dan Wanita Unesco 2023 di Beijing pada Khamis.

Prof. Peng Liyuan dan Audrey Azoulay turut menyampaikan anugerah kepada wakil dari Yayasan Kanak-kanak dan Remaja China dan Persekutuan Pendidikan Kanak-kanak Perempuan Pakistan.

Azoulay dalam ucapannya pula menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan China atas sokongannya kepada Unesco serta sumbangan cemerlang yang diberikan oleh Prof. Peng Liyuan untuk memajukan pendidikan kanak-kanak perempuan dan wanita di peringkat global. 

Beliau menyatakan kesediaan Unesco untuk terus meningkatkan kerjasama dengan China untuk memajukan pendidikan kanak-kanak perempuan dan wanita di seluruh dunia.

Untuk rekod, Anugerah Pendidikan Kanak-kanak Perempuan dan Wanita adalah satu-satunya anugerah yang diberikan oleh Unesco dalam usaha memajukan pendidikan golongan itu.

Program “Spring Buds” dari China dan program “Star Schools” dari Pakistan memenangi anugerah berkenaan pada tahun ini.– Bernama, 29 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen