Russia terima jet pejuang generasi kelima SU-57


Kumpulan baharu jet pejuang generasi kelima Su-57 diserahkan kepada Kementerian Pertahanan oleh pengeluar pesawat Russia. – Gambar EPA, 29 September, 2023.

SATU kumpulan baharu jet pejuang generasi kelima Su-57 diserahkan kepada Kementerian Pertahanan oleh pengeluar pesawat Russia, kata Timbalan Perdana Menteri Russia Denis Manturov, lapor Xinhua.

Manturov berkata jet tempur itu lulus ujian kilang sepenuhnya dan diuji dalam pelbagai mod operasi oleh juruterbang tentera.

Pengarah jeneral United Aircraft Corporation Yuri Slyusar berkata baki jet pejuang generasi kelima yang dirancang untuk diserahkan tahun ini sama ada di pusat pemasangan terakhir atau di stesen ujian penerbangan.

Beliau berkata Russia menghantar kumpulan ketiga Su-35S tahun ini dan kumpulan seterusnya sedia untuk pengeluaran.

Su-57 ialah pesawat tempur generasi kelima pelbagai fungsi Russia. Ia menampilkan kelajuan pelayaran supersonik, senjata dalaman, salutan serap radio dan kompleks peralatan pesawat terkini. – Bernama, 29 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen