Menantu Muhyiddin belum dikenakan notis merah Interpol


Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata masih ada beberapa maklumat teknikal diperlukan sebelum permohonan rasmi boleh dibuat kepada Interpol. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2023.

BUKIT Aman belum membuat permohonan notis merah bagi mendapatkan bantuan Interpol untuk menahan menantu Muhyiddin Yassin, kerana ia masih menunggu maklumat tambahan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata masih ada beberapa maklumat teknikal diperlukan sebelum permohonan rasmi boleh dibuat kepada Interpol.

“Masih ada beberapa perkara teknikal yang ditunggu daripada SPRM.

“Sebaik saja semua maklumat diperoleh, kita akan buat permohonan rasmi kepada Interpol,” katanya dipetik berkata di New Straits Times hari ini.

Difahamkan permohonan dibuat kepada Interpol tetapi agensi itu meminta maklumat tambahan sebelum nama disenaraikan,” lapor NST.

Ini termasuk maklumat berkaitan undang-undang dan kesalahan yang terbabit dalam kes berkenaan.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain sebelum ini mengesahkan mereka menerima permohonan bantuan daripada SPRM untuk meletakkan nama menantu Muhyiddin iaitu Muhammad Adlan Berhan dalam senarai Notis Merah Interpol.

Adlan, 480, dan peguam Mansor Saat, 69, sedang disiasat SPRM berhubung kes penyelewengan dalam pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja warga asing di sebuah kementerian. – 29 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen