Kerajaan usaha bantu rakyat tangani isu harga barang, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata sudah meminta kementerian dan agensi terbabit agar beri perhatian mengenainya isu kenaikan harga barang keperluan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedaya upaya melakukan yang terbaik dalam membantu rakyat mendepani permasalahan berkaitan harga barang keperluan ketika ini. 

Mengakui masalah berkaitan perkara itu wujud, Anwar berkata beliau sudah meminta Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Armizan Mohd Ali dan Timbalan Menteri KPDN Fuziah Salleh untuk memberikan perhatian berhubung perkara itu. 

Katanya Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi turut memfokuskan mengenai isu berkenaan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL).

“Memang ada masalah, saya akui, harga barang dan keperluan, kita lihat beberapa negara sudah ada keresahan sosial besar kerana sekatan eksport beras, peningkatan cukai eksport bawang.

“Itu semua beri kesan kepada ekonomi dan (harga) barang, tapi kita cuba tangani,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan sambutan Ulang Tahun Jubli Intan Lembaga TH yang ke-60 di Menara TH.

Ditanya sama ada pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dijadualkan hari ini akan menyentuh mengenai ura-ura rombakan kabinet, beliau berkata ia hanya merupakan pertemuan mingguan yang biasa dilakukannya dengan Seri Paduka.

“Mungkinlah, mungkin, nanti saya fikir. Tak ada keperluan mendesak pun sebab yang kosong cuma satu,” kata perdana menteri. 

Ketika ini kekosongan jawatan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup susulan pemergian penyandangnya, Allahyarham Salahuddin Ayub pada Julai lepas, masih belum diisi. 

Media sebelum ini melaporkan kemungkinan berlaku penyusunan semula Kabinet dalam masa terdekat, dengan beberapa menteri diramal digugurkan dan dakwaan rombakan itu hanya akan dilakukan selepas Pilihan Raya Kecil Pelangai pada 7 Oktober ini. – Bernama, 29 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen