Perusuh serang rumah ketua menteri Manipur


Lebih 150 terbunuh di Manipur sejak pertempuran bersenjata tercetus pada Mei, antara etnik Meitei yang majoritinya beragama Hindu dan masyarakat Kuki Kristian. – Gambar EPA, 29 September, 2023.

RIBUAN penunjuk perasaan cuba menyerbu rumah ketua menteri Manipur di India, menyebabkan pihak berkuasa ter[memanggil tentera tambahan untuk mengekalkan ketenteraman awam.

Di Manipur ketika ini, lebih 150 terbunuh sejak pertempuran bersenjata tercetus pada Mei, antara etnik Meitei yang majoritinya beragama Hindu dan masyarakat Kuki Kristian.

Puak Meitei marah apabila gambar dua pelajar yang hilang Julai lalu tersebar, disahkan maut dibunuh.

Penduduk di ibu negeri Imphal yang menentang amaran keselamatan dan perintah berkurung, melancarkan protes berhampiran rumah keluarga Ketua Menteri N Biren Singh.

Seorang pegawai kanan di pejabat kerajaan itu memberitahu, ribuan orang cuba menyerang kediaman berkenaan dan mereka dihalang sampai ke kediaman itu oleh polis menggunakan kekerasan.

Pegawai itu berkata tembakan masih berterusan, namun tidak dapat mengesahkan kemalangan jiwa.

Pejabat Ketua Menteri juga merayu bantuan daripada tentera untuk mengawal perusuh yang datang dari semua arah.

Katanya, penunjuk perasaan juga menyasarkan rumah wakil di Dewan tertinggi Parlimen.

Pihak berkuasa turut memotong bekalan elektrik di kawasan itu untuk mengurangkan jarak penglihatan penunjuk perasaan dan penyiar NDTV melaporkan, pasukan keselamatan melepaskan beberapa das tembakan gas pemedih mata.

Polis Manipur bagaimanapun berkata keselamatan yang mencukupi sudah disediakan.

Biren Singh, selaku ahli Parti India Bharatiya Janata (BJP) serta pemimpin parti itu, Perdana Menteri India Narendra Modi juga dikritik kerana kegagalan pentadbirannya menamatkan keganasan di negeri itu.

Minggu ini, pentadbir mengenakan perintah berkurung di Imphal selepas berpuluh-puluh pelajar cedera dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan. – AFP, 29 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen