6 remaja Mexico diculik disahkan maut


ENAM remaja yang diculik di negeri Zacatecas di utara Mexico disahkan maut, kata pihak berkuasa pada Khamis.

Ia adalah penculikan terbaharu remaja yang mengejutkan negara Amerika Latin itu.

Enam mayat yang ditemui sehari sebelum ini dikenal pasti sebagai mayat remaja berusia 14 hingga 18 tahun, yang diculik pada Ahad, kata pegawai kanan negara Zacatecas, Rodrigo Reyes.

“Pendakwa raya pergi ke tempat kejadian…membuat laporan pakar, tugas forensik, dan malam tadi waris sudah dapat mengenal pasti mangsa,” katanya kepada saluran televisyen Milenio.

Mangsa penculikan ketujuh ditemui dalam keadaan masih bernyawa di perbandaran Villanueva di Zacatecas, kata pegawai pada Rabu, dan dimasukkan ke hospital dengan kesan lebam dan kemungkinan retak di bahagian kepala dan hidung.

Presiden Andres Manuel Lopez Obrador menzahirkan kesedihan berhubung kejadian itu dan berkata mangsa yang terselamat, dikenali sebagai Sergio Yobani Acevedo, sedang bercakap kepada pihak berkuasa ketika mereka cuba untuk memastikan motif kejadian.

Kesemua remaja itu dilaporkan diculik oleh kumpulan bersenjata selepas mengadakan parti di sebuah rumah luar bandar.

Dua suspek ditangkap di Villanueva dan “terdapat kebarangkalian tinggi mereka ada kaitan” dengan jenayah itu, kata Reyes pada Rabu.

Walaupun punca penculikan belum pasti, kartel Sinaloa dan Jalisco New Generation bersaing untuk mengawal laluan pengedaran dadah ke Amerika Syarikat melalui Zacatecas.

Pendakwa raya berkata sebelum ini penculikan itu dipercayai tiada kaitan dengan pengambilan ahli secara paksa oleh kumpulan penjenayah.

Remaja itu sedang tidur pada jam 4 pagi apabila kumpulan penjenayah tiba dengan kenderaan dan membawa mereka pergi, kata pendakwa raya Francisco Murillo.

Kes itu mengimbas semula penculikan, penyeksaan dan pembunuhan lima pemuda Mexico berusia 19 hingga 22 tahun oleh pembunuh upahan kartel dadah di negeri barat Jalisco pada Ogos.

Pembunuhan dan penculikan adalah perkara biasa di Mexico, tetapi kejadian terbaharu ini mengejutkan dan mengundang kemarahan orang ramai.

Reaksi itu sebahagian besarnya disebabkan oleh imej mengerikan yang bocor menunjukkan mangsa melutut dengan tangan terikat.

Satu klip menunjukkan seorang rakan menyerang mangsa lain, mungkin dipaksa berbuat demikian oleh penculik.

Tiada seorang pun daripada lima itu ditemui, walaupun pihak berkuasa menemui pelbagai mayat manusia semasa pencarian mereka.

Mexico merekodkan lebih 420,000 pembunuhan sejak pelancaran serangan antidadah tentera yang kontroversial pada 2006.

Ia juga mencatatkan lebih 110,000 kehilangan sejak 1962, kebanyakannya dikaitkan dengan organisasi jenayah. – AFP, 29 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen