Wan Rosdy berseloroh minta pengundi tak balik untuk PRK Pelangai


Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berseloroh meminta anak muda yang tidak menetap di kawasan Pelangai supaya tidak pulang mengundi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2023.

MENTERI Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata beliau hanya berseloroh apabila meminta pengundi supaya tidak pulang mengundi pada Pilihan Raya Kecil Pelangai jika mereka tidak mahu memberikan undi kepada Barisan Nasional.

Wan Rosdy yang juga naib presiden Umno dilaporkan membuat permintaan itu ketika hadir satu majlis Barisan Nasional di Felda Chemomoi, Bentong, malam tadi.

Beliau dilaporkan memberitahu peneroka supaya menasihati anak-anak mereka yang tidak menetap di kawasan itu supaya tidak pulang mengundi jika mahu memberikan undi kepada calon bukan BN.

“Anak-anak kita yang berada di luar kalau dia tak bersama dengan kita tidak payah suruh balik. Biar duduk di kolumpo (Kuala Lumpur) je. Mengaco (mengacau) je. Biar kita je yang menguruskan kampung halaman kita,” katanya dipetik Malaysiakini.

Bagaimanapun, beliau kemudiannya menjelaskan itu hanyalah gurauan untuk merancakkan majlis.

“Yang tu seloroh je. Maknanya kita harap mereka balik dan menyokong kitalah. Tapi macam saya kata kalau tak mengundi tak payah balik tu saya seloroh je la.

“Sebab tengok ada yang mengantuk tadi jadi saya selorohlah sikit. Don’t take it too serious (Jangan ambil serius sangat),” katanya.

PRK Pelangai akan diadakan pada 7 Oktober menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Umno/BN Amizar Abu Adam, Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli. – 28 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen