Hyundai, Kia tarik balik 3 juta kereta di AS kerana risiko kebakaran


Hyundai dan Kia memanggil semula 3.3 juta kenderaan di Amerika Syarikat kerana risiko terbakar secara tiba-tiba. – Gambar AFP, 27 September, 2023.

PENGELUAR kereta Korea Selatan, Hyundai dan Kia memanggil semula 3.3 juta kenderaan di Amerika Syarikat kerana risiko terbakar secara tiba-tiba, umum pengawal selia semalam.

“Kebakaran boleh berlaku sama ada kenderaan itu diparkir, dimatikan atau ketika dipandu,” kata Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Lebuhraya Kebangsaan (NHTSA) dalam satu kenyataan.

Kenderaan berkenaan termasuk 1.64 juta daripada Hyundai dan Genesis model 2010 hingga 2015 dan 1.73 juta Kia antara 2010 hingga 2017.

Masalah berpunca daripada isu sistem brek antikunci (ABS) kenderaan itu yang boleh membocorkan cecair brek secara dalaman dan menyebabkan pintasan elektrik, kata NHTSA.

“Hyundai merancang untuk memberitahu pemilik untuk membawa kenderaan mereka ke pengedar terdekat bagi menggantikan fius modul ABS,” kata agensi itu.

Hyundai merekodkan 21 kebakaran kenderaan yang dikaitkan dengan kemungkiran di Amerika Syarikat serta “22 insiden haba,” termasuk asap yang boleh dilihat, terbakar dan mencair.

Kia merekodkan satu kebakaran petak enjin, tiga kebakaran dalam unit dan enam kejadian komponen lebur. – Bernama, 28 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen