SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah sejak kira-kira sebulan lalu menyiasat dakwaan rasuah berhubung projek percetakan buku bernilai RM80 juta semasa Naib Presiden Bersatu Dr Radzi Jidin jadi menteri pendidikan, kata Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya SPRM berkata siasatan itu tidak ada kena-mengena dengan kekecohan yang berlaku di Dewan Rakyat antara Radzi dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 19 September lepas.
Siasatan itu juga katanya sudah bermula sebelum Umno Wilayah Persekutuan membuat laporan kepada SPRM mengenai dakwaan itu minggu lalu.
“Kita telah mulakan siasatan membabitkan kes ini kira-kira sebulan sebelum ini. Laporan yang dibuat oleh sekumpulan individu baru-baru ini hanya maklumat tambahan yang boleh diambil kira SPRM,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.
https://www.utusan.com.my/berita/2023/09/siasatan-projek-cetak-buku-sejak-sebulan-lalu-azam/
Azam mengulas dakwaan Timbalan Ketua Biro Undang-Undang Bersatu, Sasha Lyna Abdul Latif yang menuduh perdana menteri menyalah guna SPRM untuk menekan musuh politiknya.
Beliau juga dipetik berkata SPRM berkecuali dan siasatan terhadap mana-mana individu bukan atas arahan mana-mana pihak.
SPRM juga akan meneruskan siasatan tanpa tekanan mana-mana pihak, katanya.
Minggu lalu SPRM menahan dua individu termasuk bekas setiausaha politik kepada Radzi untuk siasatan dakwaan rasuah berhubung kontrak rundingan terus percetakan buku bawah Kementerian Pendidikan.
Radzi menafikan terlibat dengan dakwaan rasuah yang sedang disiasat. – 27 September, 2023.
Komen