Perlumbaan senjata nuklear satu kegilaan, kata PBB


Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres berkata perlumbaan dalam pembangunan senjata nuklear atom memberi ancaman kemusnahan kepada dunia. – Gambar AFP, 27 September, 2023.

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata perlumbaan dalam pembangunan senjata nuklear atom baharu berisiko memberi ancaman kemusnahan kepada dunia.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres berkata demikian ketika Korea Utara mendakwa negaranya berada di ambang perang nuklear.

Guterres turut mendesak gerakan diwujudkan semula untuk mengurangkan dan akhirnya menghapuskan senjata itu, walaupun negara bersenjata nuklear bertindak sebaliknya.

“Sebarang penggunaan senjata nuklear pada waktu apa pun dan di mana sahaja, atau dalam apa juga konteks akan mencetuskan malapetaka kemanusiaan yang besar.

“Senjata nuklear sekali lagi digembar-gemburkan… ini adalah kegilaan. Kita mesti berpatah balik,” katanya pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA), hari terakhir sesi tahunannya.

Sehingga kini, Russia dan Amerika Syarikat (AS) mempunyai senjata nuklear terbesar, dengan China mengekori rapat.

Korea Utara juga semakin berkembang pesat dengan program nuklearnya dan ujian peluru berpandu berulang.

Sebelum ini, Korea Utara dalam ucapannya menuduh musuh ketat AS mendorong negaranya lebih dekat kepada ambang perang nuklear.

Duta Korea Utara ke PBB Kim Song mengecam tindakan Korea Selatan di bawah Presiden Yoon Suk Yeol kerana menjalinkan kerjasama lebih erat dengan AS dan Jepun. – AFP, 27 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen