BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) Ahmad Azizi Ali disaman di mahkamah bersama pemaju hartanah Tunas Manja Development & Construction Sdn Bhd (TMDC) dan 10 yang lain atas dakwaan menipu entiti milik kerajaan.
The Edge Malaysia melaporkan 12 pihak didakwa melakukan beberapa siri konspirasi untuk menipu SPNB Aspirasi Sdn Bhd (SPNB Aspirasi), anak syarikat SPNB berhubung projek rumah mampu milik membabitkan 469 unit teres di Kuantan, Pahang antara 2014 dan 2019.
SPNB Aspirasi mendakwa ditipu untuk menandatangani perjanjian pembangunan bernilai RM108 juta pada 2015 dengan Tunas Manja Development & Construction (KL) Sdn Bhd (TMDC (KL)) yang secara palsu digambarkan sebagai anak syarikat TMDC melalui dokumen palsu yang diluluskan oleh pengerusi SPNB ketika itu Ahri Hashim dan Azizi.
SPNB Aspirasi kini menuntut ganti rugi sekurang-kurangnya RM141 juta dalam kos tanah dan kehilangan peluang komersial antara relif lain, menurut dokumen mahkamah.
Selain Azizi, TMDC dan TMDC (KL), SPNB Aspirasi turut menamakan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya Hisham Ahmad sebagai defendan.
Pihak lain antara 12 itu ialah pemilik TMDC Chin Yoke Choon, Chin Yoke Kan dan Chin Tham Chui @ Chan Ching Swee; Pemilik TMDC (KL) Rusli Ismail dan Norhasina Muhammad Hakim, serta peguamnya Leong Yeng Kit; dan Akitek Akiprima Sdn Bhd dan pemiliknya Cheah Kah Lip.
Dalam saman itu plaintif mendakwa Azizi dan Ahri menyebabkan SPNB Aspirasi menandatangani perjanjian pembangunan tambahan berat sebelah dengan TMDC (KL) pada 2019 yang mengandungi terma yang memihak kepada kedua-dua pihak.
Antara terma tersebut TMDC (KL) berhak untuk menamatkan perjanjian pembangunan sekiranya berlaku keingkaran oleh SPNB Aspirasi dan menuntut ganti rugi bersamaan dengan keseluruhan kehilangan keuntungan daripada projek itu.
Akitek Akiprima — firma seni bina projek itu — dikatakan melantik empat perunding tanpa kelulusan SPNB Aspirasi dan kemudiannya meluluskan tuntutan palsu daripada TMDC (KL) terhadap SPNB Aspirasi yang mencetuskan kejadian mungkir.
Implikasinya menurut SPNB Aspirasi ialah Azizi dan Ahri melalui perjanjian tambahan itu secara tidak jujur membantu TMDC (KL) untuk menamatkan perjanjian supaya TMDC (KL) mengekalkan kos tanah sebanyak RM33 juta dan mengemukakan bayaran yang berlebihan tuntutan kehilangan keuntungan terhadap SPNB Aspirasi.
Timbangtara untuk menyelesaikan pertikaian antara pihak-pihak kemudiannya diputuskan dengan SPNB Aspirasi memerintahkan membayar sejumlah RM26.17 juta kepada TMDC (KL).
Sebelum itu SPNB Aspirasi membayar TMDC (KL) RM66.3 juta (termasuk kos tanah RM33 juta) di bawah perjanjian pembangunan 2015.
Perlu diingat TMDC (KL) memfailkan petisyen penggulungan terhadap SPNB Aspirasi pada Mei tahun ini berikutan tidak membayar anugerah timbang tara.
Petisyen itu dijadualkan didengar pada 22 November.
Menurut dokumen mahkamah SPNB Aspirasi dakwaan itu terbongkar selepas pengerusi baharu SPNB Husam Musa yang dilantik pada 22 Mac tahun ini mengarahkan siasatan forensik dalaman yang didakwa mendapati Ahri dan Azizi bersama defendan lain bersubahat dan bertindak menipu SPNB Aspirasi.
Writ saman itu difailkan untuk plaintif oleh firma guaman Rajesh, Chew & Ho di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 September 2023.
Difahamkan SPNB Aspirasi memfailkan satu lagi saman terhadap Azizi, Akitek Akiprima, pemaju hartanah Wiradani Development Sdn Bhd dan tiga yang lain kerana didakwa bersubahat untuk menipu syarikat dengan sama menggunakan tuntutan palsu dan perjanjian tambahan yang berat sebelah dalam projek perumahan berasingan. – 26 September, 2023.
Komen