160 penerbangan terpaksa dibatalkan di Gatwick London


Kira-kira 30% kakitangan di lapangan terbang Gatwick London tidak dapat bertugas pada masa ini atas pelbagai sebab termasuk Covid-19 menyebabkan ada penerbangan terpaksa dibatalkan. – Gambar AFP, 26 September, 2023.

LAPANGAN terbang Gatwick London terpaksa membatalkan lebih 160 penerbangan mulai semalam hingga Ahad ini berikutan kekurangan luar biasa pengawal trafik udara, sebahagiannya disebabkan jangkitan koronavirus.

Penerbangan dihadkan kepada 800 sehari, berlepas dan ketibaan sehingga 1 Oktober, kata lapangan terbang itu dalam satu kenyataan, sambil menambah keputusan itu diambil dalam persetujuan bersama dengan Perkhidmatan Kawalan Trafik Udara Britain (NATS).

Jumlah siling harian akan menghalang pembatalan dan kelewatan saat akhir untuk penumpang, sementara NATS akan berusaha menangani masalah berpunca daripada penyakit dan kekurangan kakitangan, menurut kenyataan itu.

Kira-kira 30% kakitangan tidak dapat bertugas pada masa ini atas pelbagai sebab termasuk Covid-19, katanya.

“Ini adalah keputusan sukar tetapi tindakan ini bermakna syarikat penerbangan boleh menjalankan program penerbangan yang boleh dipercayai, memberikan penumpang lebih keyakinan mereka tidak akan menghadapi pembatalan saat akhir,” kata Stewart Wingate yang juga pengarah lapangan terbang Gatwick.

Gatwick adalah lapangan terbang kedua terbesar di London selepas Heathrow. – AFP, 26 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen