Malaysia usaha bawa pulang 2 rakyat di Teluk Guantanamo, kata Saifuddin


Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata usaha edang dilakukan untuk membawa pulang dua rakyat Malaysia yang ditahan oleh Amerika Syarikat sebagai pengganas di Teluk Guantanamo. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mei 2023.

USAHA sedang dilakukan untuk membawa pulang dua rakyat Malaysia yang ditahan oleh Amerika Syarikat di Teluk Guantanamo, Cuba, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam catatan Facebook beliau membangkitkan perkara itu dalam pertemuan dengan Wakil Khas Hal Ehwal Guantanamo, Tina Kaidanow semasa lawatannya ke New York baru-baru ini.

Ini kali kedua Saifuddin bertemu Kaidanow serta pertemuan susulan daripada lawatannya ke Guantanamo Bay.

“Saya bertemu sendiri dengan kedua-dua warga Malaysia yang ditahan di sana. Kisah mereka membuatkan saya benar-benar tersentuh. Ini bertitik-tolak mengenai kehidupan, keinsafan, peluang menjadi insan lebih baik.

“Kita akan usaha mempercepat urusan mereka kembali ke Malaysia,” katanya di Facebook.

Mohammed Nazir Lep dan Mohamad Farik Amin merupakan antara tujuh orang yang ditahan kerana didakwa terlibat dalam serangan bom yang mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober 2002 dan pengeboman di hotel JW Marriott di Jakarta pada Ogos 2003.

Mereka ditahan di Thailand pada tahun yang sama dan dimasukkan ke dalam kurungan bersendirian di lokasi rahsia dikendalikan Agensi Perisikan Pusat (CIA) sebelum dipindahkan ke Guantanamo Bay pada 2006.

Dilaporkan juga mereka pertama kali didakwa pada Ogos 2021. Perbicaraan itu bagaimanapun tidak dapat diteruskan kerana kerajaan AS tidak dapat menyediakan penterjemah bahasa Melayu yang berkelayakan.

Awal tahun ini peguam bela Nazir, Brian Bouffard menyatakan kekecewaannya dan menyalahkan kerajaan AS kerana menyebabkan kelewatan yang tidak berkesudahan perbicaraan kedua-dua mereka.

Bouffard yang berpangkalan di AS berkata beliau memfailkan usul meminta Suruhanjaya Tentera AS di Guantanamo menetapkan tarikh perbicaraan juri pada Disember tahun lalu seperti yang dicadangkan oleh kerajaan Amerika.

“Tetapi yang menghairankan kerajaan menentangnya walaupun mereka yang pada asalnya mencadangkannya,” kata Bouffard. – 25 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen