PBB sudah ada senarai nama calon untuk PRK Jepak


Setiausaha Agung PBB Alexander Nanta Linggi berkata pemilihan calon yang paling sesuai bagi PRK Jepak akan dibuat oleh pucuk pimpinan parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2023.

PARTI Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) sudah mempunyai beberapa nama untuk diketengahkan sebagai calon bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.

Setiausaha Agung PBB Alexander Nanta Linggi bagaimanapun enggan mendedahkan nama-nama berkenaan, dan berkata pemilihan calon yang paling sesuai antara mereka akan dibuat oleh pucuk pimpinan parti nanti.

“Kita ada beberapa orang nama, tetapi mereka yang sesuai akan dipilih oleh pucuk pimpinan parti…yang pasti calonnya adalah daripada PBB kerana kerusi (DUN Jepak) itu milik parti PBB,” kata beliau yang juga menteri kerja raya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Projek Kompleks Dewan Bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan wad tambahan Hospital Kuala Lumpur di Kuala Lumpur, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mesyuarat khas hari ini menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi DUN Jepak, Sarawak pada 4 November depan, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 21 Oktober dan 31 Oktober.

PRK DUN Jepak diadakan berikutan kematian penyandangnya Talib Zulpilip akibat komplikasi buah pinggang pada 15 September lepas. Talib, 72, adalah penyandang kerusi itu selama enam penggal sejak 1996.

Sementara itu Nanta yang juga setiausaha agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata kempen bagi PRK itu akan dijalankan bersama parti lain dalam kerajaan perpaduan atas semangat setia kawan. 

“Saya ingat cara berkempen itu tidak akan menjadi masalah sebab kita dah bersama dalam kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan dan hasil persefahamannya juga saya harap dapat ditunjukkan dalam PRK DUN Jepak ini,” katanya. – Bernama, 25 September 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen