KAPAL angkasa OSIRIS-REx Nasa, misi pertama Amerika Syarikat (AS) bagi mengumpul sampel daripada asteroid menghantar pulang sampel asteroid Bennu ke Bumi pada Ahad, lapor Xinhua.
“Ini menandakan misi penghantaran sampel pertama Amerika seumpamanya dan akan membuka kapsul masa kepada permulaan sistem suria”, kata NASA.
Kapal angkasa itu melepaskan kapsul sampelnya ke arah Bumi pada 6.42 pagi Waktu Timur (1042 GMT) dari kira-kira 101,000 kilometer (km) permukaan Bumi kira-kira satu pertiga jarak dari Bumi ke Bulan.
Kira-kira 10 minit kemudian ia mendarat di Lapangan Ujian dan Latihan Utah Jabatan Pertahanan AS pada 10.52 pagi Waktu Timur (1452 GMT).
Sampel itu akan dipindahkan ke Pusat Angkasa Johnson Nasa di Houston, Texas hari ini untuk analisis.
Dilancarkan pada 8 September 2016 OSIRIS-REx tiba di asteroid Bennu pada 3 Disember 2018, mengumpul sampel batu dan habuk dari permukaan Bennu pada 20 Oktober 2020.
Bennu berkemungkinan merupakan peninggalan sistem awal suria berusia 4.5 bilion tahun yang terpelihara dengan baik, sampel itu dijangkakan memberi gambaran tentang peranan yang dimainkan oleh asteroid yang serupa dalam pembentukan planet dengan penghantaran bahan organik dan air kepada Bumi yang akhirnya mungkin membawa kepada kehidupan, kata NASA.
Data yang dikumpul daripada misi OSIRIS-REx juga akan membantu saintis untuk lebih memahami asteroid yang boleh memberi kesan kepada Bumi dan menyediakan maklumat mengenai pesongan asteroid pada masa hadapan.
Selepas melepaskan kapsul sampelnya ke atmosfera Bumi, kapal angkasa itu memulakan perjalanan baharu ke asteroid Apophis untuk melihat dari dekat asteroid jenis S.
Apophis kira-kira 1,000 kaki lebar akan berada dalam lingkungan 20,000 batu (32,187 km) dari Bumi pada tahun 2029 – kurang daripada satu persepuluh jarak antara Bumi dan Bulan.
Misi baharu itu dinamakan OSIRIS-APEX dijadual memasuki orbit Apophis sejurus selepas asteroid menghampiri Bumi untuk melihat bagaimana pertemuan itu menjejaskan orbit, kadar putaran dan permukaan asteroid, menurut Nasa. – Bernama, 25 September, 2023.
Komen