Bersatu dakwa kerajaan perpaduan sasar pemimpin pembangkang secara sistematik


Timbalan ketua biro undang-undang Bersatu Sasha Lyna Abdul Latif mendakwa kerajaan menggunakan badan penguatkuasa untuk bertindak terhadap pemimpin pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2023.

TIMBALAN ketua biro undang-undang Bersatu Sasha Lyna Abdul Latif hari ini mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan gabungan pemerintahnya secara sistematik mensasarkan lawan politik mereka.

Beliau berkata kerajaan menggunakan badan penguatkuasa untuk bertindak terhadap pemimpin pembangkang, yang terbaru ialah Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin.

Beliau berkata kerajaan memulakan siasatan jenayah terhadap pemimpin pembangkang untuk mengalih perhatian orang ramai daripada kelemahan kerajaan, termasuk pembebasan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Merujuk kepada kes Radzi, Sasha berkata segalanya bermula pada Selasa di Parlimen apabila Anwar menuduhnya melakukan rasuah.

Beliau berkata ini diikuti dengan beberapa mesej dalam talian yang mendakwa bekas menteri pendidikan itu terlibat rasuah yang dikaitkan dengan projek percetakan buku untuk kanak-kanak prasekolah.

Sasha berkata terlalu kebetulan selepas dua hari Anwar menuduh Radzi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas pembantu Radzi atas dakwaan rasuah.

“Kronologi ini penting dan mengejutkan. Ia mencadangkan sasaran sistematik dan gangguan oleh badan penguat kuasa terhadap musuh politik perdana menteri dan gabungan politiknya.

“Adalah tidak rasional, tidak realistik dan melucukan  berkata tindakan pantas dan mengejutkan oleh SPRM dan sekutu politik Anwar bermula Rabu hingga Jumaat terhadap Radzi tiada berkaitan dengan perbalahan sengit dengan perdana menteri pada Selasa.

“Kami menggesa kerajaan hari ini menghentikan ugutan terhadap ahli Parlimen pembangkang dan berhenti menyalahgunakan kuasanya dengan bertindak bersama agensi penguatkuasaan untuk memburu mereka yang tidak sehaluan dengan (pentadbiran persekutuan).

“Anwar dan kerajaannya mesti menumpukan perhatian kepada masalah rakyat dan mewujudkan dasar untuk menjadikan kehidupan rakyat lebih baik, bukan menghabiskan masa dengan plot yang menyalahi undang-undang untuk menjatuhkan pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan.

Bekas setiausaha politik Radzi direman sehingga esok.

Dalam satu kenyataan, Radzi berkata beliau dan isteri tidak terlibat dalam percetakan buku mahupun syarikat yang disebut dalam mesej yang membuat dakwaan tidak benar itu. – 25 September 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen