Presiden Korea Selatan alami hidung berdarah semasa mesyuarat kabinet


Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol mengalami pendarahan hidung semasa mesyuarat Kabinet di pejabat presiden hari ini. – Gambar EPA, 25 September, 2023.

PRESIDEN Korea Selatan Yoon Suk Yeol mengalami pendarahan hidung semasa mesyuarat Kabinet di pejabat presiden hari ini.

Seorang pegawai kerajaan berkata kejadian itu berkemungkinan disebabkan jadual padat beliau semasa dan selepas lawatan ke New York minggu lepas.

Yoon berada di New York dari Isnin hingga Jumaat untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan bertemu dengan 47 ketua negara luar, termasuk menghadiri 41 sidang kemuncak dua hala.

“Presiden mempunyai jadual kerja dua hala yang ketat di New York dan meneruskan jadual yang padat dengan menghadiri acara awam sejurus selepas pulang,” lapor Yonhap memetik kenyataan pegawai itu.

Korea Selatan sedang mengambil langkah aktif, termasuk untuk membawa Ekspo Dunia 2030 ke Busan dan mengembangkan pasaran global bagi sektor perniagaan.

“Saya menekankan Ekspo Busan akan menjadi ekspo berorientasikan nilai yang akan mengubah paradigma masyarakat antarabangsa daripada persaingan kepada perpaduan,” katanya.

Yoon mengetuai kempen kerajaan untuk membawa penganjuran Ekspo Dunia ke Busan.

Busan berhadapan saingan tiga penjuru dengan Riyadh, Arab Saudi dan Rom, Itali, dengan pemenang akan ditentukan melalui undian dalam kalangan negara anggota Bureau International des Expositions pada akhir November. – Bernama, 25 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen