Isu bekalan beras, Malaysia akan adakan mesyuarat dengan India


Keputusan India untuk berhenti mengeksport beras menyebabkan kekurangan bekalan dan lonjakan harga beras di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2023.

MALAYSIA akan mengadakan perbincangan dengan India berkenaan bekalan beras dalam usaha untuk menangani masalah kekurangan bekalan, kata Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan Mohamad Sabu.

Beliau berkata keputusan India untuk berhenti mengeksport beras menyebabkan kekurangan bekalan dan lonjakan harga beras di Malaysia.

Tiada tarikh ditetapkan untuk mesyuarat kerajaan-dengan-kerajaan tetapi Mohamad menjangkakan ia akan diadakan tidak lama lagi.

“Bila mereka hentikan eksport beras, ia menyebabkan kenaikan harga beras di Malaysia,” katanya seperti dilaporkan The Star Online.

“Mereka akan masih eksport beras basmati tetapi beras jenis ini mahal.

“Harapnya, kita akan mendapat jawapan mereka supaya mesyuarat dengan menteri dapat diadakan untuk mendapatkan penyelesaian terbaik bagi memastikan bekalan beras kita mencukupi.

“Kita mahu minta mereka terus mengeksport beras ke Malaysia – itu harapan kita.”

“Bila harga beras import naik, permintaan terhadap bekas tempatan melonjak, menyebabkan kekurangan bekalan di beberapa tempat, tetapi kita sedang mengambil tindakan untuk menangani masalah itu,” katanya.

Beliau berkata Malaysia juga cuba mendapatkan bekalan dari Pakistan, Vietnam dan Thailand tetapi negara berkenaan turut berdepan masalah beras di negara masing-masing.

“Isu bekalan beras adalah masalah dunia. Walaupun kita terjejas, ada negara lain lebih teruk,” katanya.

Pada Julai, India mengenakan sekatan terhadap eskport beras bukan basmati secara besar-besaran, susulan larangan eksport beras hancur tahun lalu. – 25 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen