TENTERA Israel menembak mati dua rakyat Palestin dalam serangan di Tebing Barat pada Ahad, kata kementerian kesihatan Palestin.
Tentera zionis itu turut melancarkan serangan dron baharu ke atas Semenanjung Gaza yang disekat.
Keganasan meningkat dalam konflik Israel-Palestin sejak awal tahun lalu, khususnya di Tebing Barat di mana lapan rakyat Palestin telah terbunuh dalam pencerobohan Israel sejak Selasa.
“Dua rakyat Palestin terbunuh akibat tembakan peluru hidup Israel di kepala semasa serbuan sebelum subuh,” kata kementerian itu.
Tentera Israel berkata salah seorang anggotanya cedera ringan akibat serpihan tembaka” semasa pertempuran di kem pelarian Nur Shams berhampiran bandar Tulkarem.
Kementerian kesihatan Palestin mengenal pasti dua yang terbunuh sebagai Osaid Abu Ali, 21, dan Abd al-Rahman Abu Daghash, 32.
Kumpulan Palestin Hamas berkata bahawa “syahid Osaid Abu Ali” adalah salah seorang pejuangnya.
Ibrahim al-Nimer, wakil kumpulan advokasi Kelab Tahanan Palestin di kem pelarian berkenaan, memberitahu AFP “tentera memasuki kem selepas 2:00 pagi ... dan merobohkan jalan-jalan dan beberapa rumah”.
Tentera berkata ia telah membongkar “pusat arahan operasi” di dalam bangunan yang “mengandungi peranti pemerhatian, komputer dan peranti teknologi”.
“Semasa aktiviti itu, suspek melepaskan tembakan dan melemparkan bahan letupan ke arah pasukan, yang bertindak balas dengan tembakan langsung,” katanya. – AFP, 25 September, 2023.
Komen