Perikatan mungkin main isu 3R di PRK Pelangai, kata pemerhati


Alfian Z.M. Tahir

Pilihan Raya Kecil Pelangai akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan calon Bebas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2023.

PERIKATAN Nasional (PN) akan terus menggunakan isu perkauman, agama dan raja (3R) sepanjang tempoh berkempen bagi PRK Pelangai di Pahang manakala pakatan pemerintah akan bergantung kepada kestabilan negara untuk memikat pengundi, ramalan penganalisis.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight PN akan bercakap mengenai perkara 3R memandangkan pengundi di kawasan itu majoritinya orang Melayu.

PRK Pelangai akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), PN dan calon Bebas.

Pertandingan untuk kerusi itu pada 7 Oktober adalah antara Amizar Abu Adam dari BN, Kasim Samat dari PN dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli.

PH sedia menyokong Amizar BN berhubung kerjasama mereka selepas PRU15 November lalu.

Amizar yang merupakan ahli jawatankuasa Umno Bentong, dan Kasim dari PAS, akan bertanding di kerusi itu buat kali kedua. Haslihelmy ialah presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang.

Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata PN akan menggunakan strategi kaum dan agama untuk memenangi pengundi Melayu.

Tambahnya, untuk meraih undi Melayu, sudah semestinya PN dan beberapa pihak dalam kerajaan menyentuh isu 3R.

“Sebelum pencalonan pun, kita sudah dengar isu 3R dan kini memasuki tempoh berkempen, pasti ada lagi.

“Untuk menang undi Melayu, PN akan menggunakan agama dan bangsa. Bagi gabungan BN-PH mereka akan menyentuh kestabilan sebagai asas kepada kerajaan Pahang yang kukuh.”

Mazlan berkata kedua-dua pembangkang dan pakatan pemerintah juga akan bercakap mengenai rasuah dan kenaikan kos sara hidup.

“PN akan bercakap mengenai kerajaan dan pembebasan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah dan dakwaan kegagalan Putrajaya menangani kekurangan beras putih tempatan.

“Sementara PH-BN akan bercakap mengenai kes rasuah pentadbiran terdahulu dan akan menafikan bahawa mereka gagal menangani bekalan nasi putih tempatan,” kata ahli akademik itu.

DUN Pelangai mempunyai 16,456 pengundi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Adun Umno dan anggota Exco Pahang Johari Harun dalam nahas pesawat berhampiran Bandar Elmina di Shah Alam pada 17 Ogos.

Pengundian awal ditetapkan pada 3 Oktober.

Serangan bermula

Prof Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya turut senada dengan pandangan Mazlan.

Beliau berkata PN telah memulakan serangan mereka dengan menuduh Howard Lee dari DAP menghina Islam kerana menggunakan ayat kitab suci dalam ucapannya baru-baru ini.

Awang berkata tidak salah untuk menggunakan ayat al-Quran dalam ucapan asalkan ia digunakan untuk alasan yang betul.

“Jangan lupa sayap bukan Islam dalam PAS juga pernah menggunakan ayat-ayat al-Quran dalam ucapan mereka dan ini dirakam dan dikongsi di media sosial. Jadi kita kena berlaku adil.

“PN akan menyerang lawan mereka dalam sudut ini, menuduh bukan Islam cuba campur tangan dalam Islam. PH-BN sebaliknya akan cuba meyakinkan pengundi tentang kepentingan kestabilan.

“Mereka juga akan menyerlahkan kejayaan mereka dalam dua PRK Johor baru-baru ini bahawa semuanya baik-baik saja di peringkat persekutuan,” katanya.

Pada hujung minggu, pengarah pilihan raya PN Muhammad Sanusi Md Nor menggesa polis supaya menyiasat Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee kerana didakwa membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran.

Dia memberi amaran bahawa tindakan sedemikian boleh menimbulkan kemarahan umat Islam dan boleh menyebabkan mereka turun ke jalan.

“Di Indonesia, seorang ahli politik bukan Islam yang mentafsir ayat al-Quran sendiri telah dipenjarakan selama dua tahun. Tetapi di Malaysia, polis baru mula menyiasat (Lee).

“Namun, terima kasih kepada polis kerana membuka siasatan. (Tetapi) mesti siasat kes ini dengan betul.

“Jangan tunggu sehingga rakyat marah dan berjuta-juta (umat Islam) mula membantah di Kuala Lumpur,” katanya.

Sanusi, yang juga menteri besar Kedah, berucap pada ceramah PN di Simpang Pelangai yang dihadiri lebih 1,000 orang.

Lee, yang merupakan ahli jawatankuasa eksekutif pusat DAP, didakwa membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran di TikTok.

Polis menjalankan siasatan terhadap Lee selepas menerima laporan. – 25 September, 2023.

Berita penuh di sini. 
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen