PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden bersedia untuk menjadi tuan rumah kepada pemimpin negara kepulauan Pasifik dalam usaha menentang pengaruh China yang semakin berkembang.
Sidang kemuncak pemimpin daripada 18 anggota Forum Kepulauan Pasifik itu akan berlangsung pada Isnin dan Selasa di Washington.
Menurut pegawai kanan pentadbiran, Biden akan mengumumkan pendiriannya yang lebih tegas di rantau itu, membiayai projek infrastruktur dan mengukuhkan kerjasama maritim khususnya dalam memerangi penangkapan ikan secara haram.
Forum itu menghimpunkan negeri dan wilayah di Lautan Pasifik dari Australia ke negara kecil dan kepulauan yang kurang penduduknya.
“Tiada pertikaian bahawa terdapat beberapa peranan yang dimainkan oleh China dalam semua ini…ketegasan dan pengaruhnya, termasuk di rantau ini menjadi faktor yang memerlukan kami mengekalkan tumpuan strategik,” kata pegawai kanan White House yang enggan namanya disiarkan.
Pengaruh China dirasai apabila ketiadaan Perdana Menteri Kepulauan Solomon, Manasseh Sogavare yang kini bersekutu rapat dengan Beijing.
Sogavare berada di New York minggu lalu untuk menghadiri Perhimpunan Agung PBB namun tidak melanjutkan lawatannya di AS.
“Kami kecewa kerana beliau pilih untuk tidak hadir ke sidang kemuncak yang sangat istimewa ini,” kata seorang lagi pegawai White House.
Agenda esok menampilkan mesyuarat dan makan tengah hari bersama Biden.
Pada Selasa pula, pemimpin dijadualkan bertemu dengan pegawai atasan mengenai iklim dan ekonomi dan meluangkan masa dengan penggubal undang-undang AS. – AFP, 24 September, 2023.
Komen