Kementerian, telco pastikan tiada gangguan perkhidmatan semasa banjir


Timbalan Menteri Kementerian Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata perbincangan akan diadakan dengan syarikat telekomunikasi supaya memastikan tiada gangguan perkhidmatan semasa banjir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2023.

KEMENTERIAN Komunikasi dan Digital (KKD) mengadakan perbincangan dengan syarikat telekomunikasi (telco) supaya bersedia untuk memastikan tiada gangguan perkhidmatan semasa musim tengkujuh yang boleh mengakibatkan bencana alam seperti banjir.

Timbalan menterinya, Teo Nie Ching berkata peranan KKD semasa banjir adalah untuk memastikan tiada gangguan perkhidmatan supaya usaha menyelamat dan bantuan segera kepada mangsa banjir berjalan lancar.

“Kementerian sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir dan memohon pengguna membuat aduan sekiranya terdapat gangguan perkhidmatan telekomunikasi di kawasan terjejas banjir,” katanya selepas majlis perjumpaan dengan sayap pemuda DAP Pulau Pinang, hari ini.

Teo yang juga ketua Wanita DAP Kebangsaan berkata beliau akan teruskan jelajah berjumpa dengan semua ahli pemuda DAP di setiap negeri untuk mendengar pandangan dan isu berkaitan mereka.

Pulau Pinang merupakan persinggahan keempat dalam siri jelajah beliau selepas Lembah Klang, Melaka dan Sarawak.

“Ini merupakan peluang terbaik untuk mereka mengutarakan sebarang isu atau pandangan supaya jawatankuasa kebangsaan parti boleh ambil maklum,” katanya. – Bernama, 24 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen